Menikmati makan malam sambil belayar atas bot dagang tradisional atau dhow adalah suatu pengalaman yang menarik. Pelayaran yang mengambil masa hingga dua jam setengah ini bukan sahaja menghidangkan seleksi makanan yang lazat malah tetamu akan dihiburkan dengan alunan irama muzik padang pasir.

Sambil menyusuri terusan  Dubai , tetamu akan dapat menyaksikan keindahan bangunan di sepanjang pinggirannya serta pantulan cahaya di permukaan air.

“Makan malam di atas dhow amat terkenal di kalangan pengunjung terutamanya pelancong Barat. Ia merupakan salah satu tarikan utama jika hendak menyempurnakan lawatan anda ke  Dubai . Siapa yang tidak mahu makan dengan disapa bayu malam di bawah kerdipan bintang dan sinaran bulan,” ujar Srini, 32, Pengurus Operasi Al-Khor Creek Cruises.

“Hidangan yang boleh ditemui dalam pelayaran dhow ini secara asasnya banyak diadaptasi daripada masakan negara-negara Timur Tengah seperti Lebanon, Syria dan Iran. Rempah ratusnya pula banyak didatangkan dari Asia Selatan,” katanya lagi yang mengaku berasal dari Chennai, India.

Penulis turut diperkenalkan dengan beberapa resipi pembuka selera seperti fatoush dan hummus. Fatoush ialah sayur salada yang dicampur bersama potongan kecil buah tomato, timun, kapsikum serta roti Arab yang digoreng. Tidak lupa juga hirisan daun pudina dan selasih untuk menambah rasa segar dan bau yang tajam. Sebagai pelengkap, ia digaulkan dengan perahan lemon, bawang putih kisar dan minyak zaitun.

Hummus pula ialah kacang kuda yang dikisar bersama bawang putih dan tahaina. Srini menerangkan, untuk menyediakan hummus, mula-mula kacang kuda akan direndam sekurang-kurangnya selama 12 jam. Kemudian ia akan dididihkan dengan serbuk soda sebelum disejukkan dengan mencampurkan ketulan ais.

Minyak zaitun, jus lemon dan sedikit garam juga diperlukan untuk mendapat keseimbangan rasa. Hasil akhirnya ialah krim adunan yang pekat masam. Ia sesuai dimakan bersama roti pita atau roti nan dan sangat berkesan memberi keseimbangan rasa ketika menikmati hidangan utama.

Selepas mencuba juadah pembuka selera lain seperti tabouleh iaitu salad tomato dengan pudina dan bijirin, baba ghanooj (terung panggang) dan salad kentang yang digaul bersama tuna, tetamu perlu meneruskan dengan hidangan berat pula. Kebab daging, shwarma ayam, kofta kambing, nasi beriani dan kari tidak boleh dibiarkan tanpa disentuh.

“Cubalah berenj yang dibawakan dari Parsi. Ia adalah hidangan nasi berempah dengan kekacang dan kismis,” pelawa seorang petugas Dhow Dinner.

Di samping itu, bufet ini juga menawarkan hidangan pencuci mulut yang beraneka seperti kek, roti manis, puding dan juga buah-buahan. Pelbagai jenis minuman disediakan, namun yang paling digemari ialah jus buah.

“Pelancong sangat menggemari makan malam atas dhow ini kerana keistimewaan masakan kami yang sungguh tradisional. Selain menjamu selera dalam ruang berhawa dingin di tingkat bawah, tetamu juga boleh memilih untuk menikmati udara segar di tingkat atas yang terbuka,” ujar Srini.

Makan malam ini dijadikan agenda wajib bagi mereka yang mengikuti program lawatan ke  Dubai  di bawah kendalian agensi pelancongan Arabian Adventures. Bayaran yang dikenakan ialah antara 60 hingga 100 Dirham seorang, bergantung kepada musim, jenis dhow dan ciri nilai tambah lain yang ditawarkan. Anda juga mungkin akan dikejutkan dengan kehadiran penari gelek!

Sila rujuk: www.dhowcruisedubai.com untuk maklumat lanjut.