‘SANJUNGI waktu lampau, hiasi waktu semasa dan terus membina demi masa depan’. Motto itu menjadi panduan utama bagi Clough Wiliams-Ellis ketika membangunkan tanah seluas 70 ekar di pinggir perairan selatan Snowdonia, Wales.

Ketika arkitek kreatif berbangsa Welsh itu membeli kawasan tersebut dengan harga 5,000 pound pada tahun 1925, matlamatnya ialah untuk membuktikan bahawa pembangunan manusia tidak semestinya mengorbankan alam sekitar.

Iklim sederhana yang terdapat di kawasan ini memungkinkan pelbagai jenis tumbuhan sub-tropika tumbuh subur. Antara yang hidup subur sejak ratusan tahun dahulu ialah pokok oak dan rowan manakala tumbuhan seperti dan wilow renek memenuhi kawasan yang lebih lembap dan berpaya.

Tumbuhan berbunga yang turut menghiasi halaman berkonsep taman bunga yang banyak ditemui di Cornwell, England. Antaranya ialah rhododendron, azalea dan camellia.Bagaikan sebuah kerajaan mini.

Portmeirion  kini menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia untuk melawatinya. Lebih daripada 50 bangunan pelbagai bentuk dibangunkan Clough mengikut kreativiti seperti yang pernah ditunjukkan oleh arkitek Itali yang masyhur iaitu Andrea Palladio.

Selain terdapat seni bina tinggi dan berkubah seperti The Bell Tower, The Pantheon dan Bridge House, bangunan yang paling menyerlah dalam  Portmeirion  ialah The Town Hall atau juga dikenali sebagai Hercules Hall.

Seni bina dalamannya mengangkat ilham pertukangan zaman Jacob iaitu ketika pemerintahan Raja James I. Hikayat wira mitos Yunani iaitu Hercules mengisi motif ukiran di siling serta lukisan di kebanyakan sudut bangunan ini.

Ciri seni bina yang tersendiri juga dapat dilihat melalui keluk gerbang, tiang penyokong, jenang pemisah antara jendela kaca serta pelapik dinding yang diperbuat daripada kayu oak.

Rias taman di  Portmeirion  difokuskan di The Piazza. Pada tahun 1930-an, ia hanyalah sebuah gelanggang tenis. Clough telah mengubahnya menjadi sebuah taman bunga indah dengan laluan siar kaki serta kolam pancuran air yang berjubin biru. Kolam itu dikelilingi pokok-pokok renek yang memekarkan pelbagai jenis bunga aneka warna.

Tapak The Piazza ini ditinggikan sedikit daripada permukaan tanah. Pada hujung unjuran tapaknya, terdapat dua tiang tinggi yang menyokong patung figura penari Burma yang berwarna keemasan.

Taman ini menemukan tiga buah miniatur binaan iaitu The Bristol Colonnade, The Glorriette dan The Gothic Pavilion. Ketiga-tiga binaan ini mempamerkan ciri pertukangan batu yang mengagumkan.

Colonnade mengangkat gaya ukiran dari Perancis dan Netherland pada kurun ke-15. Ia tersergam megah dengan mempamerkan barisan 14 batang tiang dan di tengah-tengahnya terdapat sebuah patung bidadari.

Gothic Pavilion dan Gloriette pula dibina saling berhadapan di antara kolam pancuran. Kedua-duanya diilhamkan daripada pandangan menarik Istana Schonbrunn di Vienna.

Setiap bangunan lain di  Portmeirion  kini dijadikan pusat penginapan bagi mereka yang inginkan kelainan dalam percutian. Selain menjadi lokasi berbulan madu eksklusif, ia juga bertindak sebagai pusat aktiviti penghayatan seni bina, kebudayaan, kesenian dan kesusasteraan.