Segalanya kelihatan mewah, besar dan ekstra. Mungkin ekspresi itu dapat mewakili perasaan seseorang yang pertama kali menjejakkan kaki ke dalamnya. Pengalaman berbelanja pastinya berlainan kerana pusat beli-belah ini bertemakan kisah pelayaran pengembara legenda Arab pada kurun ke-14, Ibnu Battuta.

Dari segi struktur luarnya, ia kelihatan seperti enam buah bangunan yang berbeza dirangkaikan menjadi satu. Masing-masing dengan bentuk, warna serta dilengkapi corak mengikut enam destinasi utama persinggahan Ibn Battuta iaitu China, India, Parsi, Mesir, Tunisia dan Andalusia.

Keunikan seni binanya dibuat seiring keperincian hiasan dalamannya. Ini memberi peluang kepada pengunjung untuk ‘meninjau’ suasana zaman lampau dalam keghairahan berbelanja.Pintu masuk pilihan utama terletak di segmen yang bertema dunia Parsi.

Melewati sisi koridor yang dicorakkan oleh susunan jubin dan mozek pelbagai saiz, bentuk dan warna cukup membuatkan sesiapa sahaja terpesona. Gantungan lampu Moroccan di sepanjang laluan siar kaki mempamerkan kekayaan seni pertukangan logam Asia Barat.

Di ruang legar China Court, pengunjung dapat menyaksikan model jong China yang dibina mengikut saiz sebenar. Bayangkan keluasan dan ketinggian lelangit aras pada tempat kapal tradisional itu dipamerkan.

Egypt Court pula menterjemahkan kegemilangan kota Kaherah pada abad ke-14. Lantai dan tembok dalam bahagian ini dilakar dengan lukisan hieroglif yang mewakili medium komunikasi Mesir kuno.

Kesibukan pasar harian di Utara Afrika dijelmakan di Tunisia Court. Gerbang dan tiang menyempadani ruang terbuka yang menempatkan medan selera. Bersantai sambil menikmati hidangan di bawah langit Arab memberi pengalaman yang hebat terutamanya pada waktu malam yang dihiasi ribuan bintang terang.

Kehebatan ukiran motif dengan pengaruh Hindu pada naungan kubah boleh ditemui di India Court. Jangan lupa untuk merakamkan gambar berdekatan arca jam gajah yang setinggi lapan meter. Andalusia Court tidak kurang hebatnya. Ruang legarnya menyambut pengunjung dengan siri keluk gerbang tinggi yang disokong tiang marmar pelbagai warna.

Pembinaan kompleks yang terletak di persimpangan 5 dan 6 Sheikh Zayed Road ini adalah suatu usaha melestari warisan dan kebudayaan dunia. Pelaburan tinggi untuk projek seperti ini secara tidak langsung melambangkan visi masyarakat kosmopolitannya.

Ibn Batutta Mall menggabungkan rangkaian kedai jualan beraneka produk dan jenama, pusat aktiviti keluarga dan taman rekreasi. Bagi yang tidak puas berhibur, kompleks pawagam 21 skrin menanti untuk dikunjungi termasuk sebuah pawagam IMAX yang pertama di bumi Emiriah Arab Bersatu.