“DI MANA gambar bersama Karl Lagerfield ini diambil?,” ujar saya ketika melihat susunan foto peribadi yang dipamerkan dalam bingkai piuter di meja sudut ruang tamu. “Oh, itu di Paris. Pertunjukan fesyen,” jawabnya manis sambil meratakan alas meja makan.

Alas baldu merah hati yang diserikan sulaman emas itu sengaja dilihat hendak diseragamkan dengan warna dinding serta juraian tabir bermotif pokok duit di ruang tamu. Tabir labuh yang dibeli ketika melancong ke negara Thailand itu nyata menyerlahkan kedudukan sofa panjang berfabrik rona emas berpotongan klasik.

Siapa tidak kenal dengan cita rasa artistik penyanyi genit, Dayang Nor Camelia Abang Khalid, 31. Saat wanita yang bertunjangkan keaslian identiti Bumi Kenyalang ini berbicara tentang hiasan dalaman, sesiapa sahaja pasti mengerti bahawa dia bukan bercakap kosong.

“Semua ini adalah ekspresi diri saya!,” luahnya penuh makna.Aura dan apresiasi seni yang terpancar daripadanya bukan sahaja datang dalam medium muzik atau lagu, malah terzahir secara eksklusif di kediamannya di Ukay Heights, Kuala Lumpur ini.

Permainan warna kontras disempurnakan dengan letakan arca, barangan hiasan dan ornamensi yang didatangkan dari pelbagai benua dunia. Semuanya menyemarak mood dan gaya seorang pengembara. Menurut Camelia ,

“Barangan yang dibeli di luar negara secara tidak langsung membawa pulang cerita percutian untuk dikongsi bersama. Maka, setiap satunya adalah cetusan perbualan bersama keluarga dan teman-teman yang bertandang ke sini.”

Dia yang meminati bidang dekorasi sejak kecil turut memberitahu idea dekorasinya memuncak tatkala melancong ke kota Paris. “Saya amat teruja apabila melangkah masuk ke butik galeri Coco Chanel. Ia mempertemukan pengaruh kesenian Perancis dan elemen Oriental. Segalanya nampak begitu hebat dan mewah!,” terangnya bersemangat.

Renungan menggoda bintang legenda Hollywood, Audrey Hepburn yang tersemat kemas dalam bingkai pasti menyapa tetamu apabila melintas laluan untuk ke dapur. Biografi selebriti pujaannya itu turut terlihat di antara koleksi buku bacaannya. Cinta Camelia terhadap dunia fotografi turut mendapat tempat di kediaman empat bilik itu. Pengabadian peristiwa dalam pengembaraannya dirakamkan dalam tarikan hitam dan putih.

“Eksperimentasi dengan lensa kamera adalah suatu yang menyeronokkan. Setiap sudut mewakili sebuah penceritaan,” ujarnya.

Apa yang jelas, sentuhan kreativiti Camelia tidak terhenti setakat di ruang tamu, malah berlanjutan sehingga ke ruang paling kecil seperti bilik air. Dinding pula tidak dibiarkan kosong, sebaliknya dipadatkan dengan karya lukisan, bingkai foto dan cermin besar bagi memberi ilusi keluasan.

Tiada feature wall di rumahnya kerana setiap sisi tembok memberi impak pandangan yang berbeza. Adakah Camelia punya peraturan tertentu dalam menghias rumah?

“Tidak rasanya. Saya tidak tahu hendak menamakan konsep apa. Mungkin ini konsep Camelia ! Secara psikologi, kita semua menginginkan kediaman yang indah dipandang mata. Apa yang penting ialah saya feel good about it. Jika ada waktu terluang, saya gemar mengalihkan perabot dan perhiasan mengikut kesesuaiannya. Itulah kepuasannya,” ujar duta syampu Pantene ini.

“Rumah adalah segalanya. Ia adalah refleksi bagi setiap yang terlintas dalam minda. Bagi saya, kediaman adalah zon peribadi yang menterjemah perwatakan dan cita rasa. Setiap kali berdiam diri dalam rumah ini, apa yang dilihat mata akan memberi input ke dalam jiwa.”