TERPAKSA mengakui, dalam usia lewat dua puluhan ini, fantasi seorang anak kecil dalam diri penulis kembali terbit. Secerah matahari musim panas yang memancar di Pulau Lantau, Hong Kong pada akhir Jun lalu, kedatangan penulis dan teman-teman wartawan lain disambut oleh kelibat watak-watak kartun yang nama mereka tidak asing lagi.

Sedang telinga menangkap bait-bait lagu yang biasa didengar semenjak berdekad lamanya, mata pula terpesona dengan pemandangan pekan Amerika lama yang sungguh meriah dengan elemen tersendiri. Main Street, USA merupakan kawasan pertama dijejaki sejurus melepasi laluan siar kaki yang lebar dan panjang. Nostalgia dihidupkan melalui deretan bangunan bermula dari Town Square.

Sementara orang ramai sibuk mengunjungi kedai-kedai jualan dan restoran yang diserikan dengan binaan jendela dan pintu bergaya vintage, lebih ramai yang menunggu ikon kesayangan mereka, Mickey Mouse dan Minnie Mouse membuat kemunculan di gazebo bercirikan era Victoria. Kesempatan bergambar tentunya tidak disia-siakan.

Kami sememangnya tidak punya kesabaran untuk menunggu dalam barisan panjang bagi menaiki kenderaan seperti kereta api stim, Paddy Wagon atau Main Street Taxi. Meninggalkan Main Street bukan satu kerugian kerana banyak lagi tarikan istimewa sedang menunggu.

“Main Street merupakan salah satu daripada empat kawasan bertema di dalam Disneyland Hong Kong. Jika mahukan pengalaman pengembaraan yang menyeronokkan, pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti di Adventureland. Jika persembahan visual dan kesan khas mengujakan anda, bolehlah mengunjungi Fantasyland pula. Tomorrowland pula adalah tarikan terbaru yang boleh ditemui di sini,” ujar Pengurus Publisiti, Christina Tse.

Kami sempat menikmati perarakan hebat Disney yang sungguh menghiburkan. Puluhan kereta berhias diiringi para penari yang turut menyanyi riang dalam kostum aneka bentuk dan warna. Pengunjung dapat bertemu dengan Cinderella, Sleeping Beauty, Little Mermaid, Winnie the Pooh, Pinocchio, Donald Duck dan banyak lagi.

Adventureland menyambut tetamu dengan replika gergasi rumah Tarzan. Terletak di atas pulau buatan, pengunjung perlu menaiki rakit untuk ke situ. Sementara tarikan bernama Lili Tikis membasahkan pengunjung dengan permainan pancuran air, pengalaman menaiki bot Jungle River Cruise adalah sesuatu yang mesti disertai.

Kami menaiki bot menyusuri sungai yang berliku. Ia penuh dengan elemen kejutan dan misteri seperti disapa haiwan liar, dibakar api di terowong, merentasi kawasan air yang mendidih serta disumpit puak pribumi.

Pemandu pelancong kami mengingatkan tentang ‘kejinakan’ monyet-monyet yang bakal ditemui di sepanjang laluan bot. “Oh ya, ramai pengunjung yang cemburu dengan anda kerana tidak berpeluang menaiki bot ini. Lihat itu di pinggir sungai, lambai pada mereka!” katanya merujuk kepada ratusan pengunjung Disneyland yang melihat ke arah bot kami. Tanpa memikirkan apa-apa, kami pun melambai.

“Kan saya dah kata, monyet-monyet itu sungguh jinak kerana melambai kembali!” Ahli rombongan ketawa terbahak-bahak mendengarnya. Penulis berjanji pada diri, tidak akan berdiri di tebing sungai selepas itu!

Pertunjukan tertutup The Lion King layak menerima tepukan gemuruh kerana membariskan bakat-bakat hebat. Disokong oleh penataan cahaya dan prop yang cemerlang, persembahan selama satu jam itu meninggalkan kesan di hati penonton. Menurut Christina, kesemua penari dan pelakonnya ditemukan daripada uji bakat yang diadakan di seluruh dunia.

Sementara itu, Fantasyland mengajak mereka yang sentiasa muda di dalam jiwa (walaupun anda seorang nenek yang berusia 70 tahun) untuk melangkah masuk ke dunia mimpi indah dan magis. Bayangkan kastil raja, kisah dongeng yang dihidupkan di depan mata serta taman-taman indah yang mencuit pancaindera.

Adrenalin dalam darah menerjah laju ketika kami mencuba pelbagai permainan di Tomorrowland. Sertai kelajuan kereta masa depan Autopia, merasai ‘penaklukan’ makhluk asing comel Stitch, berperang dalam arena Buzz Lightyear atau berpusing dengan Orbitron.

Paling ‘digeruni’ adalah roller-coaster Space Mountain yang mencipta pengalaman merentas kosmik dalam kepantasan roket. Ada sebahagian daripada kami yang awal-awal lagi sudah menarik diri kerana sudah menjangkakan apa yang bakal dilalui. Dalam semangat ingin tahu, hanya enam wartawan yang mahu menyahut cabaran tersebut.

Dalam masa beberapa minit selepas itu, Disneyland digegarkan dengan jeritan bernada tinggi enam orang warga Malaysia! Maaf kerana tiada gambar untuk mengiringi kata-kata ini, kerana segalanya berlaku dalam suasana yang gelap dan dingin, laju dan mendebarkan!

Kemuncak kunjungan ke Disneyland diakhiri dengan pertunjukan mercun yang ditembakkan di latar kastil Sleeping Beauty pada pukul 8 malam. Saat paling indah untuk menggambarkan segalanya nyata diwakili oleh dentuman dan serakan warna-warni belerang yang menghiasi dada langit. Naluri keriangan ini pasti kekal lama walau akhirnya tiba masa untuk kami melangkah pulang. Inilah Disneyland Hong Kong!