NGAUMAN MAKHLUK MALAM

Bagi peminat alam haiwan, Singapura bukan sahaja menawarkan tarikan hebat di Singapore Zoo dan Jurong Bird Park. Night Safari menjanjikan pengalaman hebat bagi pengunjung mendekati lebih 900 haiwan daripada 132 spesies yang berkeliaran di dalam kawasan hutan seluas 40 hektar.

Sama ada memilih untuk berjalan di tiga laluan pejalan kaki atau mengembara sejauh 3.2 kilometer dengan tram, jangan terkejut jika anda terserempak dengan haiwan-haiwan yang begitu aktif pada waktu malam. Daripada tenggiling, binturong, landak, memerang dan tapir, hinggalah kepada gajah, dubuk, harimau dan singa! Rasakan juga kibasan angin yang dari sayap keluang yang terbang di atas kepala anda!

Jika terasa hendak berehat sambil menjamu selera, kunjungi Gourmet Safari Express, Bongo Burgers, Safari Restaurant dan juga East Lodge yang terletak di dalam kawasan rimba. Dibuka dari jam 7.30 malam hingga 12 tengah malam. Cara ke sana: Dari stesen MRT Ang Mo Kio, naik bas 138, atau turun di stesen MRT Choa Chu Kang dan naik bas 927. Tiket: Dewasa S$20 (RM47), kanak-kanak S$10 (RM23.50).

TERBANG DENGAN BELON

Mahu terbang setinggi 150 meter dengan belon helium untuk menyaksikan panorama 360 darjah kota raya Singapura? DHL Balloon Ride mampu membawa sehingga lebih 20 penumpang ada satu masa. Cuaca cerah pada waktu siang membolehkan jangkauan mata melihat negara-negara jiran Singapura, manakala waktu malam begitu hebat dengan keindahan landskap cahaya lampu di bumi.

Kenaikan ini selamat dan sesuai bagi semua peringkat usia, termasuk anak-anak kecil. Jangan lupa membawa kamera bersama untuk mengabadikan saat tersebut. Awas bagi yang mudah berasa gayat!

Cara ke sana: 5 minit berjalan kaki dari stesen MRT Bugis. Naik HiPPObus dan turun di hentian H1 atau H6. Tiket: Dewasa S$23 (RM54), kanak-kanak S$13 (RM30).

 SI BADAK DAN SI ITIK

Tiada cara yang lebih mudah untuk mengenali Singapura dalam waktu yang singkat. Dua jenis kenderaan persiaran yang memaparkan ikon comel – bas HiPPO yang ‘topless’ dan juga kenderaan darat dan laut, DUCK sedia melayani keinginan pengunjung.

Mengikut kod warna tertentu bas HiPPO yang berbumbung terbuka membawa penumpangnya bersiar di tiga laluan berasingan iaitu kawasan pusat bandar, kawasan warisan dan juga ke Pulau Sentosa. Dengan satu pas dengan tempoh sah sehingga 24 jam, para pelancong boleh turun dan naik semula bas ini di mana-mana hentian HiPPO.

Pemandu pelancong yang bermaklumat sedia bercerita mengenai segala yang ditemukan sepanjang lawatan. Perjalanan dimulakan di Suntec City.

Kenderaan DUCK pula menawarkan pengalaman bertema amfibia yang pertama seumpamanya di Asia. Kenderaan yang dinaik taraf daripada Perahu Perang Vietnam itu menggabungkan pakej lawatan darat (pusat bandar) dan kawasan pintu laut dan pelabuhan tanpa perlu menukar kenderaan.

Pengalaman selama 60 minit ini adalah sesuatu yang sungguh menyeronokkan. Tiket: Dewasa S$33 (RM77), kanak-kanak S$17 (RM40).

BERPESTA PERUT

Selain membeli-belah, rakyat Singapura juga gemar memberi ganjaran kepada diri dengan menikmati makanan yang lazat. Jika tidak puas menikmati sup tulang di Beach Road, apa kata jika anda mengunjungi pusat penjaja seperti di pasar Lau Pa Sat untuk menikmati masakan panas dari penjaja Melayu, Cina dan India.

Pesan penulis, jangan terkejut dengan pelawaan bersungguh-sungguh penjaja gerai yang meminta anda duduk di meja yang mereka sediakan. Jika suka, duduklah. Jika mahu ke gerai lain, tolaklah pelawaan itu dengan santun.

Baik di hotel, kompleks beli-belah, taman rekreasi, atau bazar pinggir jalan, makanan yang berkualiti begitu mudah ditemui pada bila-bila masa. Selera gabungan etnik seperti resipi Peranakan perlu juga dicuba selain merasai variasi ilham kulinari dari dunia Barat dan Timur.

‘GERGASI’ YANG MENGGODA

Penulis memaksudkan gedung beli-belah yang besar. Di Orchard Road misalnya, seseorang boleh rambang mata dengan gedung jualan yang dirangkaikan sepanjang laluan yang paling happening di Singapura itu. Dari Tangs ke Paragon, dari Mandarin Gallery ke Park Mall, atau ke Takashimaya S.C. dan kemudian ke Palaise Renaissance. Semuanya menawarkan pelbagai tarikan menarik.

Terkini, gedung jualan, hiburan dan gaya hidup VivoCity yang seluas 1.5 juta kaki persegi sudah membuka pintunya di HarbourFront Centre. Sesudah berbelanja, jangan pula tersesat mencari pintu keluar! The Great Singapore Sale berlangsung selama sebulan sekitar Julai dan Ogos setiap tahun.

Bercerita tentang rentak kehidupan pada malam hari, kota raya ini tidak pernah sunyi. Setiap malam khususnya pada hujung minggu, ribuan lokasi hiburan dan istirehat menunggu kedatangan pelanggan mereka. Karaoke, disko, bar, kafe sukan, kelab malam… namakan apa sahaja, semuanya selamat dikunjungi. Dentuman muzik, minuman koktel atau manis asap shisha mengundang tawa riang yang membuatkan sesiapa sahaja terus segar di bawah sinar rembulan!

LAMA DAN BARU

Para peminat seni bina tentunya tidak akan melepaskan peluang menghayati keindahan seni bina lama dan klasik di sekitar kawasan warisan yang dipulihara oleh pihak pemerintah. Tidak lupa juga reka bentuk bangunan ultra-moden, hinggalah kepada yang berciri futuristik. Saksikan juga bagaimana kepercayaan feng shui mempengaruhi kedudukan sesebuah bangunan dan juga ciri reka bentuknya.

‘MUSTAFA’ TIDAK TIDUR

Apa yang boleh dibuat jika tiba-tiba terjaga daripada tidur pada pukul 3 pagi dan terasa ingin keluar membeli-belah? Sedang semua gedung beli-belah sudah ditutup, Mustafa Centre dibuka selama 24 jam dan 7 hari seminggu. Masih tidak percaya? Ia bukan kedai serbaneka seperti 7-Eleven, tetapi sebuah kompleks bertingkat yang menjual pelbagai produk keperluan harian dan juga barangan mewah pada harga yang menarik. Minyak wangi berjenama, pemain muzik digital, barang kemas, pakaian dan aksesori rumah adalah bahagian yang paling sibuk. Berbelanjalah hingga terbit matahari!

Cara ke sana: Stesen MRT terhampir adalah Little India. Berjalan kaki sepanjang Serangoon Road sebelum ke simpang Syed Alwi Road akan menemukan anda dengan pelbagai tarikan seperti binaan kuil dan masjid serta perniagaan tradisi kaum India. Jika menaiki bas HiPPO, turun di hentian H3.

PULAU KERIANGAN

Jika dua dekad dahulu Pulau Sentosa hanya boleh didekati dengan menaiki feri, kini pelancong boleh mengunjunginya dengan kenderaan (termasuk bas HiPPO) kerana ia telah dihubungkan dengan jambatan. Jika itu belum cukup mengujakan, penulis menyarankan supaya menaiki kereta kabel.

Antara yang tidak boleh diabaikan ketika berada di Pulau Sentosa adalah mendaki puncak menara tinjau yang berupa seekor Merlion (duyung berkepala singa) gergasi dan juga menaiki Sky Tower yang berputar pada ketinggian 131 meter. Dari ketinggian itu, segalanya dapat dilihat seperti landskap kota raya, keindahan pulau rekreasi itu, taburan pulau-pulau selatan Singapura, dan juga gadis-gadis yang sedang berjemur di  Siloso  Beach!

 MERENTAS ZAMAN SILAM

Selain mengunjungi Chinatown dan Little India, sekali lagi penulis menyarankan supaya datanglah ke Taman Warisan Melayu untuk melihat betapa zaman dan waktu itu berlalu dengan pantas. Namun, kepantasan itu tidak sekali-kali melenyapkan warisan bangsa yang menjadi akar kekuatan rakyat Singapura pada hari ini.

Taman Warisan Melayu misalnya, memberi pengajaran tentang sejarah lampau dan dunia Melayu, asal-usul, kepercayaan, keakraban antara komuniti pelbagai kaum dan betapa perpaduan itu membawa kepada pembangunan semasa.

Melangkahlah di jalan-jalan nostalgia di sekitar Masjid Sultan seperti Bussorah Street, Jalan Sultan, Pahang Street, Kandahar Street dan Arab Street. Jika berpeluang, kenali individu daripada generasi lama yang sekali-sekala singgah di kawasan itu, kerana mereka ada banyak kisah yang hendak diceritakan.

Cara ke sana: Stesen MRT terdekat adalah Bugis. Banyak bas yang melalui kawasan tersebut boleh dinaiki.