“AKHBAR laporkan keadaan Selatan Thai runcing. Semua orang risaukan kau,” kata rakan setugas dari pejabat KOSMO! Kuala Lumpur kepada penulis lewat telefon bimbit. Mendengarkannya, penulis terdiam dan sedikit bingung. Lain sungguh yang terlihat di hadapan mata.

Pasti keluarga dan teman-teman dalam kebimbangan, fikir penulis, lalu segera menghantar pesanan ringkas kepada keluarga menyatakan segalanya selamat.

Pada saat itu, penulis dan Adnan Ahmad sedang menikmati sarapan dan makan tengah hari di kedai makan bernama Dapur Muslim, di pinggir jalan ke Pak Nam Thepa . Penduduk kampung dilihat keluar menjalankan urusan harian. Nelayan ke laut, peniaga membuka kedai dan anak-anak ke sekolah. Semuanya seperti biasa.

Bukan sengaja melengahkan mengirim khabar ke tanah air. Namun, perkhidmatan perayauan antarabangsa pada telefon bimbit penulis tidak berfungsi semenjak tiba di Thepa . Sejak 31 Mei lalu, kerajaan Thailand telah menyekat isyarat liputan di tiga buah wilayah selatan negara itu – Yala, Pattani dan Narathiwat – berikutan beberapa kes serangan bom.

Walaupun  Thepa  terletak di dalam wilayah Songkhla, isyarat turut terjejas kerana kedudukannya yang berdekatan dengan sempadan Pattani.

Langkah itu diambil kerana dipercayai bom yang mengorbankan nyawa itu diaktifkan menggunakan gelombang selular. Kemungkinan itu sekali gus menjawab kebimbangan yang ditunjukkan oleh Adnan pada hari pertama di kampungnya. Dia yang kebetulan kehilangan kad SIM telefon bimbitnya, segera melapor kepada pembekal perkhidmatan, lantaran bimbang ia disalahgunakan bagi tujuan buruk.

Bagi pengusaha Dapur Muslim, yang dikenali sebagai Ding, banyak manfaat boleh dinikmati sekiranya kekacauan sosial ini dapat dihentikan. “Ramai yang takut dengan keadaan sekarang, sedangkan kami di sini meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya yang pernah merantau ke beberapa negeri di Malaysia untuk mencari rezeki.

“Sebenarnya Selatan Thai banyak menawarkan tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi oleh pelancong Muslim. Pertalian bahasa dan budaya misalnya, boleh menjadi tarikan. Makanan halal pula senang didapatkan di mana-mana. Malangnya kini, orang Malaysia sendiri sudah ada perasaan takut untuk melintas sempadan,” terang Ding panjang lebar.

Selain itu, antara topik yang hangat dibualkan oleh orang kampung adalah mengenai perhimpunan protes besar-besaran di hadapan Masjid Tengah Pattani, sehari sebelum ketibaan penulis. Ratusan penunjuk perasaan menuntut pengunduran askar dan penarikan balik perintah darurat di Selatan Thai.

“Kemarahan bermula apabila terdapat segolongan tentera Thai yang langsung tidak menghormati penduduk kampung. Apabila mereka mabuk, mereka mula mengganggu anak-anak gadis kami, hingga ke tahap yang keterlaluan,” cerita seorang warga tua yang tidak mahu namanya dikenali.

“Terdapat banyak kes apabila orang kampung campur tangan, askar-askar itu menunjuk kuasa dengan senjata. Tubuh orang kampung ditembusi peluru. Nyawa bagaikan permainan,” ujar lelaki itu kesal.

Antara yang dahsyat adalah kisah seorang ibu yang melihat sendiri bagaimana anak gadisnya dirogol bergilir-gilir oleh tentera Thai yang mabuk dan kemudiannya ditembak mati. Kemudian, si ibu yang tidak berdaya akibat dipukul itu dihempap pula dengan tilam dan disimbah dengan minyak sebelum dibakar.

“Bagaimana kami tahu cerita ini? Allah Maha Berkuasa. Api tersebut tidak mengakhiri nyawanya. Dalam kesakitan, wanita itu terpaksa berpura-pura mati sehingga tentera Thai itu pergi. Pengalaman tersebut terus diceritakan kepada semua kerana wanita itu masih hidup hingga kini,” katanya dalam loghat Kelantan yang berbaur bahasa Siam.

Menurutnya, apabila kes seperti itu diadukan ke pihak atasan, orang kampung hanya dipermainkan dengan janji pampasan. Oleh sebab itulah, desakan pengunduran tentera Thai ini semakin kuat, seiring dengan kemuncak kemarahan yang tidak tahu hendak disalur ke mana lagi.

Sebaliknya, kemarahan orang Islam pantas dilabel sebagai puak pelampau. Jika ada kejadian yang melibatkan kecederaan askar atau orang Siam, tentunya jari dituding pada orang Melayu Islam.

Selain terus menuntut keadilan, jalan yang paling baik adalah jika askar-askar itu tinggalkan sahaja kampung mereka. Hanya melalui cara itu, ketegangan dan prasangka buruk antara orang Melayu dan Siam lama-kelamaan boleh dikurangkan.

Dari  Thepa , penulis dibawa Adnan dengan keretanya ke wilayah Pattani untuk melihat sendiri keadaan di bandar tersebut, termasuk juga Masjid Tengah Pattani. Tiada yang menggusarkan, walau kelibat tentera Thai hadir di mana-mana. Pihak berkuasa masih mengawal ketat tempat awam dan pusat komersial.

Tidak cukup mengintai bahagian dalam dan bawah kereta sebelum melepaskan kami ke tempat letak kereta, beg kamera dan seluar kargo penulis yang berpoket-poket itu turut diperiksa di pintu masuk pasar raya. Bimbang ada bahan letupan agaknya!

Banyak perkara boleh dilakukan di Pattani – melawat tempat bersejarah, membeli-belah dan menghayati kemesraan penduduknya. Namun Adnan mengingatkan penulis: “Kita perlu tinggalkan Pattani lebih awal, sebaik-baiknya sebelum hari gelap. Perintah berkurung bermula selepas Maghrib.

“Di sebelah selatan sana, sengketa berlaku kerana orang Siam dan Melayu tidak tinggal bersama. Sekian lama mereka tinggal berasingan dalam kampung yang berbeza. Tidak seperti di  Thepa ,” terang Zakariya Thoyib, 45, yang diminta mengulas mengenai kemelut sosial antara kaum dan agama, sekembalinya kami dari Pattani.

“Inilah akibatnya kalau rakyat berbilang bangsa dan agama tidak belajar menghormati dan tidak mahu mengenali antara satu sama lain,” ujarnya. Mendengarkan jawapan itu, tiba-tiba membuatkan penulis terbayang siri gambaran buruk di Malaysia sendiri, sekiranya nilai harmoni dan integrasi itu lenyap. Pinta dijauhkan!

Zakariya yang sudah sedekad menjadi imam di Masjid Darul Mustaqim di Pak Nam Thepa, walau bagaimanapun menyatakan bahawa penduduk kampungnya sering diingatkan agar tidak terlibat dalam tunjuk perasaan seperti di Pattani.

“Itu cara mereka. Kami lebih mengutamakan tentang perkara lain seperti masa depan dan pendidikan anak-anak, urusan mencari rezeki, serta muafakat sesama penduduk di Pak Nam  Thepa ,” ujar bapa kepada enam orang anak ini. Tambah Zakariya, adab santun dan kesederhanaan yang diajar dalam Islam sebenarnya menjadi jambatan untuk semua orang memanjangkan hubungan baik.

“Kami sekadar mengharapkan agar mereka (tentera) berundur. Tiada apa yang hendak dikawal di sini. Insya-Allah, tempat ini masih aman selagi tiada siapa yang berniat buruk,” ulasnya yang turut memohon agar Raja Bhumibol Adulyadej terus menjaga kepentingan golongan Muslim Thailand.

Saat ini, ancaman insurgensi terus berlaku. Namun, perantau seperti Adnan, ibu saudaranya, Mangeera Wanwang, serta ribuan lagi warga Melayu Thai yang sering melintas sempadan, tidak menganggap itu sebagai pembunuh semangat.

“Kalau diikutkan keadaan sekarang, saya ingin terus berada di Malaysia untuk mencari rezeki,” ujar Adnan ketika kami meninggalkan rumah Imam Zakariya.

Tetapi daripada riak wajahnya, penulis tahu Adnan masih sayangkan kampung halamannya, namun dia juga tidak dapat menolak gamitan kemewahan rezeki di Malaysia.