JANGAN terkejut jika terdengar suara mereka yang bertutur dalam bahasa Siam sesama sendiri. Namun sejurus terlihat pelanggan melewati pintu kedai, mereka segera menukar bahasa perbualan kepada bahasa Melayu. Fasih dan cukup berkeyakinan untuk menggoda seseorang supaya berbelanja.

Begitulah senario biasa di Bazaar  Padang   Besar , Perlis. Dalam tutur dan suara yang lembut, mereka senang memanggil pelanggan untuk melihat isi kedai atau barang di gerai mereka. Telahan mereka hanya satu, iaitu pelanggan akan memulakan ‘sesi’ rundingan harga.

Kebanyakan daripada mereka merupakan peniaga yang berasal dari Selatan Thailand, sama ada dari pekan Pattani, Hatyai atau Yala. Oleh kerana kebolehan mereka berbahasa Melayu, orang tempatan tidak sepatutnya ‘kalah’ dalam kerancakan tawar-menawar.

Bagi seorang pengunjung dari Kangar, Marfuzah Hashim, 40, kedatangannya ke  Padang   Besar  pada Ramadan lalu adalah untuk mencari pakaian baru untuk anak-anaknya menyambut hari raya.

“Selain pakaian dan kain, adakalanya terdapat barangan perhiasan diri, kelengkapan elektrik dan aksesori hiasan rumah yang menarik dijual di sini. Jika kena pada harganya, saya akan beli. Tapi perlu menawar harga sampai sekurang-kurangnya 30 peratus,” ujar ibu kepada empat anak itu.

Kompleks ini menghimpunkan pelbagai barangan, terutamanya produk perusahaan orang Islam dari Thailand. Produk makanan kering yang cukup istimewa adalah kacang gajus yang dibawa dari daerah Satun dan Songkla. Selain itu, biskut bepang iaitu bertih beras bersama manisan dan buah keranji turut mempunyai ramai peminatnya.

“Pada hujung minggu, orang ramai dari Thailand atau Malaysia boleh keluar masuk dalam kawasan bazar  Padang   Besar  tanpa perlu melalui prosedur formal dengan Jabatan Imigresen. Atas sebab persaudaraan dan kepentingan pelancongan, semua itu dipermudahkan demi kepentingan golongan peniaga dan pembeli,” ujar Zakaria Ujang, 36, yang sudah 11 tahun berniaga di situ.

Komuniti Internet juga tidak melepaskan peluang memanfaatkan ruang siber sebagai wadah untuk menjalankan transaksi perniagaan. Jika anda melayari portal PadangBesar.net, banyak maklumat tentang produk jualan di  Padang   Besar  dipaparkan.

Sama seperti mana-mana pembelian secara online, transaksi memerlukan pembeli mengisi butiran tertentu dan memilih barang yang hendak dibeli sebelum melalui proses pengesahan pembelian, kaedah pembayaran dan penghantaran. Hanya di hujung petikan tetikus, gerbang beli-belah sempadan Malaysia-Thailand terpampang di depan skrin monitor.

Setelah puas membeli-belah, tiba masa untuk pulang ke rumah. Jika hendak merehatkan pancaindera saat meninggalkan  Padang   Besar , anda yang memandu boleh memilih laluan Jalan  Padang   Besar  – Chuping. Di sini, pandangan mata disaji dengan keindahan hamparan luas ladang tebu di daerah Chuping. Selain laluan itu tidak sesak dengan kenderaan, banyak peluang fotografi boleh dilakukan di sini.

Saujana menghijau di atas muka bumi yang rata membuatkan anda teringat akan sebuah filem tempatan yang pernah menjalani penggambaran di sini. Masihkah ingat pada adegan aktor Rosyam Nor dan Que Haidar beriring-iringan menunggang motosikal dalam KL Menjerit? Inilah tempatnya!