SAAT diperkenalkan pusat penginapan ini sempena Program Kemaskini Produk Pelancongan Daerah Kota Tinggi 2008 oleh Tourism Malaysia Negeri Johor, tidak dapat dinafikan, pujian harus diberi pada pengusaha  homestay  ini.

Pusat penginapan ini memenangi hati pengunjung kali pertama dengan lokasi dan tarikannya yang tersendiri, walaupun terletak di dalam kawasan yang kecil. Meskipun tidak menyebelahi mereka yang menginginkan hamparan pantai berpasir putih, Bob  Homestay  di Kampung Johor Lama, Kota Tinggi, Johor ini berupaya menarik minat kelompok penginap yang mahu beristirehat dalam suasana damai kampung terpencil.

Selepas bebas daripada kesibukan dunia kota, pusat penginapan ini mendekatkan tetamu kepada dunia biologi paya bakau, muara sungai dan laut.

“Kami banyak menerima kedatangan berkumpulan golongan pelajar serta pengunjung dewasa yang begitu teruja dengan permintaan seperti menyusuri paya bakau untuk mengenal habitat lumpur serta mengenali kaedah menangkap ikan, ketam dan siput,” ujar Pengurus  Bob   Homestay , Abd. Razak Atan yang berbangga dengan keunikan pengisian sedemikian.

Menurutnya, penginap boleh memilih sama ada untuk tinggal bersama keluarga tuan rumah, ataupun tinggal di penginapan yang lebih privasi seperti di calet atau banglo. Bagi kedatangan lebih ramai,  Bob   Homestay  sedia menampungnya dengan menyediakan tapak perkhemahan yang ideal.

Tidak cukup dengan keindahan landskap semula jadi, jalan masuk ke tempat ini juga menyimpan nilai sejarah dan budaya. Terletak di laluan untuk ke tapak Kota Johor Lama, tinggalan kisah perdagangan dan peperangan masa lampau boleh dihayati lantas membawa seseorang mendalami maksud pembangunan identiti di daerah tersebut.

Turut tidak ketinggalan, para pengunjung yang hendak menuju pintu masuk  Bob   Homestay  segera disambut suasana kehidupan desa yang sempurna dengan elemennya – senyuman penduduk kampung, gaya hidup nelayan, serta aroma dari industri dapur tradisional.

Apabila bercakap tentang budaya, antara acara menarik untuk para tetamu  homestay  adalah persembahan tarian kuda kepang. Dijayakan oleh kumpulan penggiat dari kalangan tenaga muda tempatan, sesiapa yang menyaksikannya boleh tenggelam dalam aksi lincah penari dan rentak muzik yang mengkhayalkan.

Halaman berumput hijau yang memisahkan bangunan pusat  homestay  dengan gigi air sering menjadi medan pertunjukan yang menghiburkan. Cuma awas, jangan sampai terpukau dengan irama mistikal itu! Bimbang ada nanti yang ikut menari bersama.

Riadah sering dikaitkan sebagai wadah mengukuhkan hubungan kekeluargaan.  Bob   Homestay  mengekalkan tenaga percutian tetamunya dengan menawarkan aktiviti tambahan seperti menaiki bot, berkayak, berbasikal ataupun sekadar bermain pingpong atau berkaraoke. Semua kemudahan tersebut boleh dilakukan hanya dengan membayar harga sewa yang berpatutan.

“Kami boleh mengatur aktiviti tetamu dengan variasi tarikan yang ada di sekitar tempat ini. Aktiviti memancing, misalnya, turut mewarnai tarikan nilai tambah di  homestay  ini. Pendek kata, pakej kami direka berdasarkan kehendak penginap sendiri,” ujar Razak yang memperkenalkan pakej istimewa 2 hari 1 malam untuk kunjungan hujung minggu ke tempatnya. 

Bob   Homestay  juga bersifat mesra kanak-kanak kerana mengambil kira aspek keselamatan dan nilai kunjungan berkeluarga. Selain menyediakan kawasan berkayak yang berkepung,  homestay  ini dilengkapi perimeter berpagar. Sebagai tarikan tambahan di darat, sebuah kolam kanak-kanak dan zoo mini yang menempatkan koleksi unggas domestik disediakan.

Jika persekitaran halaman semula jadi  homestay  belum memuaskan kehendak percutian, anda masih berpeluang untuk dibawa ke makam bersejarah, replika Muzium Istana, tapak Kota Johor Lama, serta pusat pemprosesan getah.