HATI melonjak gembira apabila mengetahui lokasinya sangat ideal bagi yang ingin meredah bandar raya bersejarah ini dengan kaki. Terletak berhadapan dengan lengkok Sungai Melaka dan Kampung Morten, hotel berkonsep klasik ini mengajak tetamunya menghayati pengalaman melintas dimensi silam yang pelbagai wajah.

Jelas sekali pelaburan RM30 juta oleh YTL Hotels terhadap metamorfosis hartanah ini disifatkan seiring dengan kerancakan iklim pelancongan negeri. Selepas mengambil masa kira-kira setahun lebih untuk menyempurnakan kerja restorasi dan pembinaan bangunan tambahan, pintu The  Majestic  Malacca akhirnya rasmi dibuka pada 11 Januari 2008.

Kisah sejarah negeri bukan sahaja boleh dihayati saat mula melangkah keluar dari pekarangan hotel, malah cebisan warisan budaya masyarakat tempatan dapat disaksikan ketika meneliti sudut tertentu di sekitar premis. Keanggunan seni tradisi telah diabadikan dengan baik untuk tatapan pengunjung hotel.

Semua itu mudah dikenal pasti tatkala melihat facade bangunan sebelum melangkah masuk ke lanai lebar di bahagian depan pintu lobi. Pengekalan reka bentuk rumah agam yang lengkap dengan jendela kayu dan ragam hias kaca warna mengingatkan seseorang terhadap gaya tradisional rumah lama.

Paling bersifat sentimental adalah susunan jubin porselin Portugis asli yang bercorak geometri bertambah seri apabila digilap kilat. Sementara itu, binaan kayu keras mewah pada tangga dan kaunter daftar bernyawa semula setelah diberi kemasan perlindungan baru.

Selain pengaruh Portugis, imbasan era kolonial mudah ditemukan pada ciri pembinaan yang mengangkat ilmu seni bina Belanda dan British. Ditambah pula dengan keunikan elemen estetika Baba Nyonya, tetamu pasti senang dengan perincian susun atur barangan tertentu yang mengundang nostalgia. Apakah yang dimaksudkan itu?

Antara usikan kenangan tersebut datang dalam bentuk perhiasan antik dan ornamen di sudut tertentu. Begitu juga dengan snek tradisi seperti biskut dan gula-gula yang disediakan dalam balang kaca di ruang menunggu dan juga di bilik membaca. Tidak ketinggalan, apabila dipelawa minum teh buah melaka yang sedia dituang dari cangkir saat ditunjukkan bilik penginapan.

Klasik dan cemerlang! Itulah yang terlintas dalam fikiran apabila mengulas hiasan dalaman di bilik beradu ini. Katil dengan tiang empat menguatkan lagi godaan untuk melabuhkan punggung ke atas tilam empuk yang beralas fabrik kapas sejuk. Memalingkan pandangan ke kamar mandi berlantai marmar yang hanya dipisahkan pintu kayu gelangsar, sebuah tab mandi berkaki mencuri perhatian.

Dalam pada tersenyum, saya ingin sekali menyegerakan waktu membasahkan tubuh dalam buih hangat serta aroma yang mengundang rasa sensual dan romantis. Apatah lagi dimanjakan rangkaian produk belaian diri Crabtree & Evelyn.

Oh, semua ini menanti saya leka sedangkan perut minta diisi. The Mansion merupakan restoran signatur yang menghidangkan kelazatan dunia kulinari gabungan Portugis, Belanda, Inggeris dan Baba Nyonya. Sup herba afrodisiak dan ikan tenggiri berempah menjadi santapan pilihan saya pada hari pertama.

Selain itu, jika mahukan seleksi menu untuk sesi minum petang, The Lounge sedia melayan kedatangan anda.Kelebihan memiliki bilangan bilik yang hanya sejumlah 54 buah kesemuanya nyata memberi kelebihan buat The  Majestic  Malacca.

Hotel ini mungkin tidak sukar menjuarai penilaian aspek hospitaliti kerana kemesraan para petugasnya yang mengingati nama penghuni seumpama keluarga sendiri.

Kalau masih ingin ‘bermanja’ dengan perkhidmatan bernilai hebat di hotel ini, kunjungilah Spa Village. Enam bilik rawatan menunggu anda dalam sumber terapi yang diangkat daripada rahsia turun-temurun warisan Baba Nyonya. Jangan sesekali pulang tanpa mencuba sesi rawatan rambut dan lulur yang segar lagi mengasyikkan!

Puas dengan penampilan klasik dan tradisional, ini pula sedikit sentuhan moden dalam tuntutan gaya hidup kontemporari. Sebuah kolam renang terbuka dan berbentuk linear di hadapan jendela spa amat sesuai untuk renangan ulang-alik bagi menjana stamina.

Turut sedia digunakan adalah sebuah gimnasium dalam kepungan kaca yang mencabar penggunanya beraksi dalam rutin frekuensi dan intensiti.

Moga pengalaman anda menginap di hotel ini juga seindah ulasan Alam Damai kali ini. Walau apa pun, kewujudannya jelas dinanti-nanti oleh para pelancong yang mencintai penginapan berkualiti serta falsafah di sebalik usaha pemuliharaan warisan.

Nantikan kemunculan The  Majestic  Kuala Lumpur yang bakal menyaksikan bangunan asal Balai Seni Lukis Negara diberi nafas dan wajah baru!