MENDENGAR tutur bicaranya sahaja sudah menerangkan betapa chef selebriti ini memiliki kisah asal-usul yang unik. Biar susur galurnya bermula dari sebuah benua lain, Kylie Kwong cekap mengadaptasi persekitarannya, dan berpendapat bahawa sesiapa pun boleh berjaya di mana sahaja.

“Saya menyimpan banyak kenangan di barat laut Sydney. Bersama dua orang abang saya, hanya kami anak-anak Asia yang boleh anda temui di kejiranan dan di sekolah di situ.

“Ibu saya lahir di Darwin manakala bapa saya dari Melbourne. Kami memulakan hidup berkeluarga di Sydney,” ujarnya dalam pekat slanga Inggeris Australia.

Asal usul keluarga Kwong bermula dengan kedatangan moyang Kylie Kwong Sue Duk, ke Australia pada awal tahun 1850-an. Sue Duk belayar dari Canton, China dengan bot ke Darwin. Ketika itu, Sue Duk banyak menguruskan hartanah bernilai tinggi selain dihormati di kalangan masyarakat setempat. Sue Duk merupakan antara orang Cina terawal menjejakkan kaki ke Darwin.

“Tidak sukar sebenarnya untuk orang Asia mencari tapak dan membina kerjaya dan nama di Australia. “Meskipun mungkin ada yang bimbang tentang sentimen diskriminasi, ia sebenarnya bergantung kepada tempat anda bermastautin. Di tempat saya dibesarkan, tiada masalah sebegitu,” kata Kylie.

Kylie menyifatkan dia dan keluarganya amat beruntung kerana tinggal dalam komuniti yang bersifat terbuka. Menurutnya, apabila soal etnik diketepikan, siapa sahaja yang berusaha, dia selayaknya mendapat tempat,” ujar penggaya imej kaca mata berbingkai gelap ini.

Pertemuan eksklusif TravelRhapsody.com dengan selebriti yang biasa ditonton penggemar saluran Discovery Travel & Living di Kuala Lumpur baru-baru ini adalah sempena promosi siri program log kembara terbarunya – Kylie Kwong : My China. “Dalam siri ini, saya bukan sahaja mengacara, malah terlibat secara langsung dalam aspek penyelidikan dan penceritaan,” terangnya yang sempat singgah ke banyak wilayah di negara tersebut.

Melalui program itu, Kylie menjelajah kembali negara nenek moyangnya untuk mendekati tradisi penyediaan pelbagai jenis masakan. Sebelum nama dan wajahnya dikenali di layar kaca, Kylie hanyalah seorang gadis biasa. Dia mendakwa hanya mempelajari asas masakan Kantonis secara tidak formal daripada keluarga sebelah ibunya.

“Ketika kecil, emak saya sering meninggalkan saya di bawah jagaan nenek. Tapi sebenarnya saya yang ‘menjaga’ nenek kerana dia sibuk bermain mahjong bersama kawan-kawannya.

“Saya akan menyiapkan nasi goreng untuk nenek. Dia yang merasa masakan saya tidak pernah mengkritik. Mungkin dari situ cinta dan bakat saya dibentuk,” imbas Kylie yang ketika itu sementah usia empat tahun.

Selain gemar bereksperimen di dapur, minatnya sedikit sebanyak tercetus apabila sering menghabiskan masa di kilang membuat mi yang diusahakan pak ciknya, Jimmy.

“Para pekerja Cina di kilang itu sangat komited dengan tugas mereka. Mungkin semangat itu didorong aspek integriti dan minat, demi menghasilkan produk terbaik dan berkualiti,” terang anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Dalam umur semuda itu juga Kylie mempelajari satu perkara iaitu ikatan antara ahli keluarga mampu dierat ketika sama-sama terlibat dalam proses penyediaan makanan dan ketika menikmatinya. Walau bagaimanapun, semasa berusia 18 tahun, Kylie lebih dahulu berkecimpung dalam dunia seni reka halus dan grafik selama beberapa tahun sebelum mula memegang kuali, periuk dan senduk secara terlatih.

Hanya ketika berumur 26 tahun, barulah Kylie melaras ‘gear’ fokus apabila mendapat peluang bekerja di beberapa buah restoran terkemuka Sydney. Hanya setelah beberapa tahun menimba pengalaman, Kylie mendapat keyakinan untuk membuka restorannya sendiri. Digelar Billy Kwong , restoran yang terletak di kawasan elit Surry Hills itu menggabungkan namanya dengan seorang rakan niaga yang juga selebriti tempatan, Bill Granger.

“Setiap kali di restoran, saya banyak menghabiskan masa dengan membimbing generasi baru mengembangkan bakat kulinari mereka,” ujarnya.

“Saya juga mempunyai pendekatan sendiri untuk mengajar mereka. Saya tidak suka mengherdik atau menengking semata-mata untuk menunjukkan bahawa saya ini ketua. Generasi muda di dapur ini perlu diajar seolah-olah kita bercakap dengan ahli keluarga yang kita sayangi.”

Melalui pendekatan begitu, barulah mereka senang menerima tunjuk ajar dan gembira bekerja. “Apa awak fikir dapur tempat yang seronok untuk bekerja? Tidak sebenarnya. Dapur cukup panas, kelam-kabut dan sibuk! Kasihan mereka,” kata Kylie tersenyum.

Selain memantau perkembangan restorannya di Sydney, Kylie masih lagi sibuk dengan proses rakaman siri televisyen dan promosi di merata tempat.

Kemunculan awam juga sesuatu yang mengujakannya, apatah lagi apabila diserbu peminat yang tidak jemu memintanya menurunkan tandatangan pada buku yang pernah dihasilkannya. Melihat semua pencapaian itu, apa lagi yang Kylie mahukan?

“Saya tidak pernah menganggap saya sudah berjaya kerana saya tidak meletakkan sasaran tertentu. Kehidupan perlu dilalui secara berperingkat,” terang Kylie saat dilontar soalan mengenai kepuasan hidup dan kemuncak kerjaya.

“Bayangkan, jika ada sesiapa yang mendabik dada sambil mengatakan ‘aku kini berada di puncak kejayaan’, apakah erti kehidupannya selepas itu? Bagi saya, kepuasan pencapaian itu dinilai dari sudut usaha yang diberikan sejak awal dan perlu berterusan.

“Memang jelas bagi Kylie, seni masakan merupakan gerbang pintu yang membuka dua rentang dimensi untuknya. Satu pintu membawanya memperkemas kemahiran kulinari dan menikmati kehidupan semasa; manakala pintu yang satu lagi adalah untuk wanita ini menjenguk kembali masa lalu sambil menilai keistimewaan warisan keluarga dan budayanya.

Kylie sempat menambah: “Dengan berkongsi pengalaman tradisi keluarga dan masakan melalui buku dan program televisyen seperti ini, saya berharap ia dapat menyumbang kepada peningkatan pemahaman dan penghormatan terhadap warisan budaya Cina.”