TANYA sahaja pada mana-mana pengembara Muslim yang pernah menjejakkan kaki ke Vietnam, tentang masalah mendapatkan makanan halal di sana, tentu mereka akan menggelengkan kepala sebelum cuba mengingati satu atau dua nama kedai makan yang mereka ketahui.

Berbanding kembara ke kota-kota utama di Thailand yang mudah dipertemukan dengan penjaja Muslim di gerai-gerai pinggir jalan, Vietnam pula dikenal pasti antara beberapa buah negara di Indo-China yang sukar untuk mendapatkan makanan halal.

Kalau ada pun, hanyalah pilihan restoran masakan India Utara di beberapa lokasi. Mana pula perlu dituju jika selera terlalu ‘setia’ pada cita rasa masakan Melayu Malaysia?

Atas senario itulah, Jakiyah Amad, 44, mengatur pelbagai strategi niaga demi menjayakan operasi restorannya di tengah-tengah kesibukan Ho Chi Minh City. Sekian lama berkorban masa dan tenaga, pengusaha restoran ini boleh dikatakan berjaya meraih reputasi dan khabar mulut ke mulut di kalangan pelancong Malaysia yang mencari menu-menu lazim tanah air.

Membesar dalam jalur keturunan Melayu Champa yang tidak jauh faktor budaya dan makanan nyata memberi kelebihan kepada Jakiyah.

“Memang tiada tempat sembelihan halal yang rasmi di sini. Tapi bekalan daging halal seperti daging lembu dan ayam tidak sukar didapatkan jika mengetahui dari mana asalnya komuniti Muslim di negara ini,” ujar pemilik dan pengurus restoran popular di Thi Sach Street itu.

Jakiyah yang ketika ditemu bual kelihatan sedikit keletihan memberitahu, bahan mentah khususnya sembelihan halal dibawa dari kampungnya, Chau Doc Angiang, sekerap dua kali seminggu. Rempah ratus pula didatangkan dari Malaysia.

“Selain memikirkan risiko aliran kewangan dalam bisnes dan hal ehwal pekerja, saya perlu mementingkan pengurusan sumber bekalan mentah,” katanya.Ibu kepada dua orang anak ini telah kematian suami tercinta, Adnan Mat Isa, akibat serangan jantung pada tahun 2003 lalu.

Arwah suaminya itu merupakan rakyat Malaysia yang berasal dari Bagan Serai. Mereka berdua bertemu dan mendirikan rumah tangga ketika Adnan berkunjung ke Vietnam untuk mengintai peluang niaga.

“Tiada bisnes yang mudah untuk dikendalikan. Masing-masing dengan masalah dan cabaran tersendiri. Bagi saya, pengalaman menguruskan restoran ini selama 10 tahun telah menyiapkan saya untuk menghadapi seribu macam asam garam perniagaan,” kata Jakiyah yang turut menjual variasi tekstil sebagai pendapatan sampingan.

Jakiyah mengakui bisnesnya pernah berdepan dengan dugaan getir kerana kebimbangan ramai terhadap serangan Sindrom Respiratori Akut Teruk (SARS) yang melanda Vietnam sekitar tahun 2005.

Sepanjang tempoh 10 tahun itu juga, rentak perniagaannya pernah terjejas apabila diuji dengan dua kali kes penularan wabak selesema burung.

Hakikatnya, hayat operasi restoran Jakiyah tetap bertahan kerana wanita ini berpegang pada kesungguhan dan kepercayaannya bahawa tanggungjawab menyediakan makanan halal untuk agenda halal Vietnam serba sedikit tergalas di bahunya.

Ketika berkunjung ke restoran tersebut, sangat mudah menemukan wajah-wajah Malaysia. Lebih-lebih lagi apabila terlihat kumpulan pelanggan yang memakai baju berlogo Petronas yang rancak berbual dalam bahasa Melayu.

Selain hidung diusik aroma bahan tumis berempah dari dapur, terdengar pula alunan klip video lagu-lagu kontemporari artis Malaysia dari skrin televisyen.

Bukan sesuatu yang baru jika melihat kelibat rakyat Malaysia dan Muslim dari negara lain di situ. Kata Jakiyah, restorannya turut menjadi pilihan pelancong Muslim yang datang dari Indonesia, Arab Saudi dan Singapura.

Kebetulan pula, lokasi restoran itu berdekatan dengan masjid terbesar di Ho Chi Minh City iaitu Masjid Jamia Al Muslimin.Air tangan Jakiyah dan layanan mesra 20 pekerjanya nyata pengubat kerinduan terhadap layanan dan masakan Malaysia seperti asam pedas, kari, sup ekor, roti canai dan sambal belacan.

“Saya dan arwah suami memang sudah lama menantikan impian menjalankan bisnes seperti ini. Permulaan kami memanglah sukar, namun berkat bersabar kami mampu melakukannya,” terangnya yang berjaya mengumpulkan modal bisnes sebanyak AS$40,000 (RM128,000) untuk merealisasikan Restoran Empat Musim.

Peluang perniagaan seperti ini turut mendapat ulasan Konsul Besar Malaysia di Ho Chi Minh City, Khairi Omar, yang bersetuju bahawa hubungan baik antara kedua-dua negara sebenarnya mencetus galakan terhadap peluang perniagaan untuk rakyat Malaysia di negara tersebut.

“Kami ada menerima banyak pertanyaan tentang perkara ini dan mereka telah diberi maklumat yang diperlukan. Peluang yang dimaksudkan itu termasuklah bisnes yang berkaitan dengan dunia kulinari.

Khairi yang turut yakin perkhidmatan penerbangan AirAsia mampu menambah kerancakan pergerakan pelancongan dua hala, memberitahu bahawa kelompok rakyat Malaysia yang datang ke Ho Chi Minh City terdiri dengan status pemastautin, pengunjung bisnes ataupun pelibur hujung minggu.

Pengurus Jualan First Hotel, Nguyen Trung Truc, pula berkata, tidak mustahil sekiranya hotelnya mempunyai sebuah restoran halal satu hari nanti. Ia adalah lambang keterbukaan bandar raya itu terhadap variasi permintaan pelancong dunia.

“Saya mendapat banyak maklum balas tentang hal tersebut dan saya ingin sekali mendalami prosedurnya memandangkan kedatangan pelancong Muslim ke negara ini semakin menggalakkan,” ujarnya yang turut memantau operasi kira-kira 20 buah hotel di bawah rangkaian pengurusan Saigon Tourist.

Bagi pengusaha restoran yang tabah dengan dugaan bisnes seperti Jakiyah, hanya semangat dan minat menjadi pendorong dalam memastikan kelangsungan sebuah bisnes. Jakiyah menyedari, dia bukan selama-lamanya menjadi pengusaha tunggal bagi restoran masakan Melayu di Ho Chi Minh City. Dia sendiri mengalu-alukan persaingan sihat demi agenda halal di Vietnam.

“Wanita Melayu Champa bukan lagi tinggal di dalam rumah menunggu suami pulang membawa rezeki. Kami juga ingin berada di dalam kelompok peraih.

“Saya nekad untuk meneruskan apa yang sudah menjadi minat saya dan arwah suami sejak lama. Inilah impian yang selama ini memberi kehidupan buat kami sekeluarga. Rezeki di tangan Tuhan,” kata Jakiyah.