MENGAPA saya berdebar tatkala melangkahkan kaki di jeti? Pastinya bukan kerana peredaran darah yang lancar dek bahang matahari. Lokasi ini pernah saya kunjungi suatu ketika dahulu, tetapi penampilannya tidaklah sebegini rupa. Tarikan di depan mata kali ini benar-benar menyambut gaya percutian pulau yang diidamkan.

Berteraskan gaya kemewahan rimba, JapaMala Resort merupakan satu-satunya resort butik yang wujud di Pulau Tioman, Pahang. Sejak dua tahun lalu, JapaMala telah menggantikan operasi resort lama dan diberi nama yang baru.

Calet-calet berinspirasikan rumah Melayu tradisional telah distruktur semula dengan sentuhan hiasan dalaman kontemporari yang dijalin elemen eksotik Indo-China.

Di kawasan resort seluas 11 ekar ini, hanya terdapat 10 unit penginapan disediakan dengan tema yang berlainan – tiga unit Sarang Villa, tiga unit Sea Cliff, tiga Tree Top Chalet dan seunit Hillside Plunge Pool Sarang Villa.

“Setiap unit berbeza dari segi bentuknya kerana ia dibangunkan mengikut keadaan muka bumi yang sedia ada. Tiada pokok ditebang dan tiada bongkah batu yang dialihkan. Alam semula jadi yang menentukan pelan keseluruhan resort ini. Bahan binaan kayu juga dikitar semula,” kata Pengarah Komunikasi Pemasaran Samadhi Group, Maple Loo.

Bilik Sea Cliff menyambut saya dengan hiasan dalaman yang bergaya. Elemen kayu berkesinambungan dari lantai hingga ke silingnya. Bilik mandi yang berkemasan tekstur kerikil halus tampil separuh terbuka dengan ruang mandi hanya dikepung kaca telus pandang dan susunan batang buluh.

Barangan penjagaan diri aromatikdaripada jenama in-house iaitu Spaya Spa sedia digunakan. Dari ketinggian lokasi bilik di tebing bukit itu, saat paling hebat tercetus apabila menyaksikan panorama matahari terbenam dari pangkin istirehat di hujung beranda. Setiap bilik di JapaMala dilengkapi kemudahan seperti alat pendingin hawa dan kipas, televisyen dan pemain DVD serta bar mini.

Pada hari kedua, saya telah ‘dipindahkan’ ke Sarang Villa. Kata Maple: “Supaya anda dapat merasai pengalaman yang berbeza.” Sekali lagi pancaindera diusik oleh dekorasi yang cemerlang. Gaya resort tropika berjaya dihidupkan oleh konsep, warna dan seni pencahayaan.

Di sini, terdapat tab mandi dan air pancuran berkonsep terbuka. Ruang tersebut hanya dilindungi tebing yang dipenuhi rimbun pokok dan bongkah batu. Didorong rasa yakin dan jaminan privasi, saya bersatu dengan alam sekitar dalam fantasi ‘kebebasan’!

Jika anda memerlukan sesuatu, ketika sedang bermalas-malas di pavilion, atau bercanda di pantai, ataupun hendak merencana aktiviti pendakian ke lokasi tinjau di puncak bukit, petugas resort yang mesra sedia membantu jika diperlukan.

Pada setiap petang, mereka menyapa tetamu bilik dengan sepiring kuih tradisional atau manisan. Pendekatan mudah seperti itu mampu meraih ‘markah’ atau penarafan yang baik di kalangan tetamu resort.

“Itulah keistimewaan operasi yang kecil. Kami dapat melayani kehendak tetamu secara peribadi, sekali gus meningkatkan kapasiti dan kualiti perkhidmatan,” terang Maple yang turut memberitahu bahawa JapaMala sedang menyiapkan unit penginapan tambahan serta sebuah spa eksklusif yang mengambil lokasi di dalam gua!

Bagi pasangan yang sedang asyik dilamun cinta, tentu akhirnya akan keluar juga dari bilik penginapan untuk merasai pengalaman bersantap. Dalam kerlipan cahaya lilin dan aturan fine-dining, restoran Tamarind Terrace menyambut kedatangan anda dengan rahsia kulinari autentik dari Asia khususnya Thailand dan Indo-China.

Selain menyertai pelbagai aktiviti di darat dan laut, mungkin perkara yang paling menarik untuk dilakukan di sini ialah dengan tidak melakukan apa-apa. Hanya duduk di atas pasir sambil memejamkan mata, dan biarkan bayu laut dan irama ombak mengubati kekusutan minda.

Memetik kata Maple ketika sesi makan malam: “Keindahan alam semula jadi di sini mencipta ketenteraman jiwa. Itulah ‘hadiah’ kami untuk anda bawa pulang.” Ya, saya bersetuju. JapaMala Resort mampu tersenarai sebagai resort pilihan peribadi sesiapa sahaja kerana cinta pandang pertama