“SELAMA ini saya tinggal di apartmen yang berkeluasan sederhana. Ia tidak cukup untuk menempatkan barang-barang saya yang semakin banyak,” kata tuan rumah yang peramah melayan tetamu ini.

Itu nyata bukan pernyataan yang membangga diri, sebaliknya suatu lumrah bagi seorang yang bernama Amber Chia. Selayaknya dia memiliki hartanah di pinggir Kuala Lumpur itu.

Jelas sekali, ruang adalah faktor utama baginya untuk ekspresi supaya selari dengan gaya hidupnya sebagai model berjaya.

“Apa yang anda lihat di dalam rumah ini sebenarnya perlambangan diri saya.

“Saya berterima kasih kepada jururunding dan jurureka hiasan dalaman saya,” ujarnya yang gembira pulang ke rumah selepas sebulan ke luar negara, kerana apa yang diinginkan telah diterjemah dengan baik oleh teman-teman rapatnya itu.

Amber merujuk kepada Iko daripada Creative Homes dan juga Edwin daripada Fix Interior yang banyak membantunya merealisasikan mahligai idaman tersebut.

Garapan warna hitam dan putih yang menjadi warna kegemaran Amber diadun rapi bersama rona mewah emas, merah dan kuning.

“Saya amat suka pada kertas dinding dengan motif bunga tulip gergasi ini. Apabila saya melangkah ke dalam rumah, saya dapat rasakan ia menyambut saya.

“Bunga itu adalah saya!” ujarnya tentang dekorasi lembut pada dinding polos di ruang makan. Turut melengkapkan penampilan itu adalah gantungan mewah candelier Alfo.

Berpaksikan gaya klasik moden, Amber memesan kepada jurureka hiasan dalamannya agar menitikberatkan aspek pencahayaan selain pengudaraan.

Jalan untuk ‘mengisi’ ruang kediamannya itu mengikut kehendak Amber juga telah dipermudahkan.

Model dengan profil cemerlang ini sesungguhnya bertuah kerana namanya sahaja telah membuatkan banyak pihak mahu menghadiahkan penajaan. Perabot rumah merupakan tajaan berjenama antaranya Timeless, Red Apple dan DSM.

Selain itu mata sempat juga menangkap reka bina almari Maxima, rangkaian kelengkapan kediaman dan alat hawa dingin daripada Pensonic, serta kertas dinding Goodrich. Semua penajaan tersebut termasuk banyak lagi barangan lain dianggarkan bernilai kira-kira RM500,000.

Dipelawa Amber hingga ke bilik tidurnya, dia menerangkan bahawa bilik tidurnya merupakan dua bilik yang digabung menjadi satu. Ia bertujuan menempatkan ruang simpanan khas bagi barangan peribadi dan ruang persalinan yang besar.

Sesuai dengan tarafnya sebagai model ternama, koleksi pakaian Amber dilihat tersusun rapi di balik kaca telus pandang. “Biar mudah dipilih,” katanya.

Menurut  Amber , sebuah balkoni berhawa dingin sedang disiapkan. Ia bakal menyempurnakan pelan lantai bilik tidurnya yang menjadi pusat untuk berehat dan mengembalikan tenaga.

Namun ada sesuatu yang paling ‘menggoda’ tubuh untuk melunaskan waktu istirehat di situ. Seakan cemburu apabila terlihat sebuah katil dan tilam daripada Goodnite yang bernilai RM12,000 itu!

“Oh, katil ini sungguh selesa. Lagipun ia bagus untuk sokongan tulang belakang ketika tidur. Saya perlu mendapat tidur yang berkualiti agar dapat bekerja dengan baik pada keesokannya,” terang Amber yang memilih padanan rona gelap untuk meredakan mood ruang tersebut.

Banglo yang baru didudukinya selama dua bulan itu amat bererti buat Amber kerana ia merupakan rumah bertanah pertama yang dimilikinya. Lokasinya yang berada di tengah lingkaran akses untuk ke Petaling Jaya dan Kuala Lumpur memberi kelebihan.

Meninjau ke setiap aras rumahAmber, tertanya juga, semua bilik tidur itu untuk siapa? Sungguh tersentuh kala model ini berkata bahawa selain untuk kegunaan tetamu, dia menyediakan setiap bilik itu untuk ahli keluarganya.

“Lihatlah sendiri, setiap bilik mempunyai gaya hiasan dalaman yang berbeza mengikut cita rasa masing-masing,” katanya yang ingin segera memiliki pembantu rumah tetap untuk mengemas rumah besarnya itu.

Memang benar. Jika bilik tidur Amber sarat nilai seni dan fesyen untuk menunjukkan dirinya aktif dalam dunia peragaan, bilik kakaknya hanya ditata ringkas selayaknya seorang pekerja pejabat. Bilik adik lelaki Amber pula banyak dipenuhi gajet-gajet hiburan elektroniknya.

“Saya amat rapat dengan mereka. Sejak dulu saya pernah bertekad untuk meningkatkan taraf kehidupan kami. Maka antara lain, banglo ini adalah untuk dikongsi bersama ibu bapa dan adik-beradik yang lain. Itu janji saya,” ujar Amber.