Hidangan untuk maharaja

Pelbagai promosi dijalankan pihak hotel bagi memberi pengalaman penginapan terbaik untuk para tetamunya. Selain mencanang agenda bisnes dan beli-belah di tengah-tengah Segi Tiga Emas ibu negara, Grand Millennium menyambut keinginan selera ramai melalui salah satu restorannya iaitu Zing.

“Restoran yang menawarkan gaya kontemporari Oriental ini mendapat perhatian ramai kerana penyediaan hidangan ala Kantonis hasil sentuhan chef tempatan berpengalaman iaitu Chef Hew Choong Mun dan juga beberapa lagi chef yang diterbangkan khas dari China,” ujar Pengurus Pembangunan Bisnes, Ray Sim.

Menurutnya, tarikan utama restoran tersebut adalah seleksi makanan laut eksotik dan segar termasuk hidangan sirip jerung yang menyelerakan. Antara ‘rahsia’ dapur lain yang turut mendapat sambutan adalah dim sum, hidangan panggang dan barbeku, serta variasi jenis mi.

“Pelanggan kami juga berpeluang melihat aksi chef yang membuat pelbagai jenis mi secara tradisional daripada adunan khas. Kemahiran tangan yang memerlukan masa dan latihan kecekapan bertahun-tahun itu pasti menghibur dan menambah selera mereka,” katanya.

Sebagai pembuka selera, penulis mencadangkan sup rawan ikan yu dengan wanton udang dan kobis cina. Penyediaan secara didihan berganda itu sememangnya membangkitkan keinginan untuk merasai hidangan seterusnya.

Bagi peminat ikan, hidangan kod goreng dengan sos istimewa chef mengejutkan tunas rasa yang menginginkan kelainan. Begitu juga dengan hidangan paha ayam sumbat. Bayangkan skil chef yang menyediakannya apabila paha itu dikeluarkan tulangnya dan diisi pula dengan aneka cendawan berperisa.

Mi telur yang disertakan daging ayam cincang dan sayuran hijau merupakan pilihan terbaik bagi mereka yang ingin mencuba keaslian resipi yang diwarisi secara turun-temurun dalam peradaban China.

Sebagai pelengkap, akhiri kunjungan dengan menikmati hidangan pencuci mulut sejuk berupa krim sago dengan isi buah markisa.

Merasai makanan seperti ini terasa bagaikan sempurna sebuah hidangan yang mungkin dahulunya hanya layak untuk seorang maharaja. Kini, pengalaman istimewa ini boleh disertai oleh sesiapa sahaja yang bertandang ke Zing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *