Inap desa pinggir laut

RESIPI kejayaan dan populariti percutian inap desa atau homestay adalah kerana ia mudah, murah dan juga mendekatkan tetamu dengan rutin kehidupan tradisional. Tarikan seperti itu sememangnya dekat di hati pengunjung yang pernah merasai pengalaman sinonim dalam hidup mereka.Homestay Kampung Air Papan, Mersing, Johor tidak terkecuali menyediakan pakej istimewa untuk para tetamunya.

Terletak di dalam mukim Tenglu, destinasi ini menjadi istimewa kerana nilai tambahannya sebagai kampung homestay yang berhampiran kawasan pesisiran pantai.Tentunya, selain daripada layanan tuan rumah yang mesra, keseronokan pengunjung homestay ini berlanjutan hingga ke sesi perkelahan di Pantai Air Papan.

Begitu juga bagi yang gemar memancing, banyak lokasi untuk menduga skil pemancing menanti di pulau-pulau sekitar perairan Mersing. Paling nyata, di kampung ini, segalanya lebih tenang dan tidak perlu terburu-buru mengejar waktu. Apa yang menarik untuk dihayati adalah tentang gaya santai kehidupan tradisional Melayu, terutamanya aspek budaya, makanan dan aktiviti sosialnya.

Bercakap tentang makanan, di kampung ini terlihat keunikannya. Didapati seleksi hidangan popular Johor terpaksa ‘berkongsi’ perhatian dengan juadah yang popular di negeri-negeri pantai Timur seperti keropok lekor, sata dan laksa Terengganu.

Mungkin persoalan itu terjawab apabila memahami akan sejarah petempatan komuniti nelayan di sini. Sejak dahulukala, pembentukan masyarakat di Mersing turut disumbangkan keturunan pelaut dari pelbagai negeri yang menghadap Laut China Selatan. Masing-masing tentunya membawa bersama budaya dari tempat asal mereka.

“Jika mereka mahu belajar tentang rutin harian orang kampung, tetamu homestay turut dibawa mendekati aktiviti di sawah padi, kebun buah, ladang getah, ladang kelapa dan kebun sayur.

“Pengusaha akuakultur seperti penternak ikan dan udang juga sedia membuka premis mereka untuk dilawati,” ujar ketua kampung, Mohd. Asri Jaafar.

Sememangnya tidak salah meminta jasa baik tuan rumah untuk membawa anda ke sekitar kampung yang menyajikan pelbagai warna kehidupan dan panorama alam. Penduduk kampung yang aktif menceburi bidang keusahawanan juga gembira menjemput langkah orang luar ke gerai, kedai dan kediaman mereka.

“Ada antara penduduk kampung ini sudah menjadi tauke kelapa pandan, menjalankan bisnes keropok lekor dan juga pengusaha kedai makan,” ujar Mohd. Asri.

Selain itu, kala bersembang di kedai kopi dengan diiringi snek kampung popular seperti pisang goreng dan keropok adalah antara kaedah mudah merehatkan minda.

Lengkap jadinya hiburan mata apabila melihat keriangan kanak-kanak mengayuh basikal di laluan yang diredupkan pohon-pohon kelapa, apatah lagi terpandang gelagat si beruk pemetik kelapa yang nakal dan menghiburkan.

Untuk menghabiskan saki-baki waktu petang, tetamu homestay sangat digalak menyertai acara mengeluarkan peluh seperti treking hutan, sukan dan permainan tradisional ataupun mengikuti persembahan kebudayaan seperti tarian rakyat.

Keseronokan gaya desa ini berterusan hingga tiba masa untuk menyegarkan diri. Kalau bukan bermain air di laut dan kemudian membilas tubuh di rumah, terdapat beberapa buah rumah homestay yang menyediakan kolah di bilik mandi. Bosan dengan air pancuran? Inilah cara mandian yang membuatkan ramai tetamu luar negara teruja mencubanya!

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *