Kali’s Prada Villa

pprada1.jpg

Kali’s Prada Villa mudah ditemukan di Kampung Air Papan

Pandangan pertama disambut jalan masuk berkerikil yang mengiringi terusan air dan beberapa kolam kecil berteratai. Siapa sangka laluan yang membelah bidang sawah itu terarah ke perkarangan sebuah banglo persendirian yang diberi nama Kali’s Prada Villa. Seindah nama itu, banglo kepunyaan Khalid Hussein itu pasti membuatkan mana-mana sang pencinta seni segera mengaguminya.

Ringkas namun sarat elemen seni, ia jelas mendapat banyak pengaruh daripada kehidupan tradisional Asia Tenggara. Melihatkan ketelitian tuan rumah melengkapkan bucu genting dengan ukiran sulur bayur ala binaan puri di Bali serta sambutan gajah-gajah batu yang membawa kenangan pengembaraan di tanah Siam, menunjukkan bahawa pemiliknya rajin berwisata ke negara-negara jiran.

pprada2.jpg

Ruang masuk ke vila milik Khalid

Bertemakan resort tropika, ia umpama medium bagi Khalid menterjemah siapa dirinya – seorang yang mencintai alam semula jadi, seni hiasan dalaman, semangat percutian dan seorang strategis dalam bidang hospitaliti.

Sama seperti pusat penginapan miliknya yang satu lagi iaitu Kali’s Guest House yang lebih dekat dengan pekan, Khalid tidak lokek berkongsi keindahan mahligainya itu yang ditransformasi menjadi persinggahan berkonsep inap desa. Lantaran sering menerima tetamu luar negara yang ingin menyerap gaya hidup kampung, vila ini menjadi nukleus perhatian bagi sesiapa yang mengunjungi di Mersing.

pprada3.jpg

Pose bangga seorang anak jati Mersing

“Empat tahun lalu, saya pernah duduk di tengah-tengah bendang ini. Saya kata, ‘cantiknya tempat ini, kalaulah aku memilikinya’,” imbas Khalid yang memberitahu bahawa tempat dia duduk di tengah sawah itu kini telah menjadi ruang tamu banglonya itu.

Benar bagai dikata, Padi Prada Villa bukan sekadar indah pada nama. Selepas melewati sebuah meja makan gabungan buluh dan kaca di ruang simetrikal di pintu masuk, pandangan mata dikejutkan dengan suasana yang lain daripada yang lain.

pprada4.jpg

Bersama ikan-ikan keli Afrika yang manja

pprada5.jpg

Rimbun yang meredupkan pandangan

Binaan kaca yang membentuk jendela dan pintu gelangsar yang luas bukan sahaja berjaya memaksimumkan pencahayaan dan ilusi ruang, malah ia mempersembahkan panorama sawah padi secara langsung dari atas sofa di ruang tamu.

“Kalau tidak melayan tetamu, saya banyak menghabiskan masa di bilik saya di tingkat atas. Bilik tidur utama ini cukup luas untuk saya dan dihubungkan dengan anjung yang luas,” katanya yang banyak menghabiskan masa di ruang kegemarannya itu, sama ada membaca mahupun sekadar melayan perasaan setiap kali tiba waktu matahari terbenam.

pprada6.jpg

Enjoying the scenic view from the hall

pprada7.jpg

No fan needed. It’s breeezy day and night

“Perubahan warna ketika padi sedang membesar hinggalah bertukar menjadi kekuningan ketika musim menuai perlu sentiasa nampak bersatu dengan pandangan dari dalam rumah. Untuk itu, saya sengaja memilih langsir berwarna kuning kehijauan di bilik tidur agar ia memberi kesan serasi,” terang Khalid.

Sebarang maklumat tentang penginapan, sila hubungi Kali’s Guest House (07-799 3613)

pprada8.jpg

This is Khalid’s private balcony

3 comments

  1. kalis prada villa ok..cantik…..banyak yg perlu ditambah,seperti landskap yg lebih cntik,wrna dinding villa yg lebih menarik dan jalan ke villa yg lebih lebar..tentang bajet tu slow2 la…lama2 cntik la..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *