Rentas Kesultanan Oman

PASTINYA ini suatu pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Kali pertama menjejakkan kaki di tanah Arab benar menyuntik naluri ingin tahu yang paling optimum lantaran destinasi ini penuh dengan tarikan yang menakjubkan.

Lebih membuatkan kami berasa diterima adalah kerana masyarakat Omani yang sangat mesra menyambut kedatangan kami.

Bertentangan dengan kata-kata teman yang mengatakan bahawa bangsa Arab ini kasar atau sukar menerima kehadiran orang luar, penduduk Oman walau bagaimanapun, saya sifatkan sebagai masyarakat yang mudah didekati, peramah dan merendah diri.

Tujuan kembara selama empat hari di bumi Kesultanan Oman ini membawa rangka kerja liputan delegasi Media Prima Berhad. Kunjungan ini antara lain membawa kami melawat Kementerian Penerangan Oman untuk meninjau peluang kerjasama penyiaran di antara kedua-dua negara.

Mengenali Oman bermakna memahami sejarahnya. Keberkesanan sistem monarki kerajaan Kesultanan Oman, di bawah pemerintahan Sultan Qaboos Said sejak tahun 1970, menjadikan negara ini membangun dengan pesat, tanpa meminggirkan ciri-ciri tradisinya yang unik.

Saat mendasari elemen budaya di ibu negaranya, Muscat, hati mudah berasa tenang. Apatah lagi jaringan jalan perhubungannya membawa rombongan kami melewati infrastruktur komuniti yang terancang dan bersih.

Kawasan kediaman, bangunan komersial dan juga masjid yang indah ditemukan dalam keadaan yang tersusun dengan reka bentuk yang masih menjunjung ketinggian nilai artistik bumi Asia Barat.

Kami sempat merakamkan salah satu simbol keunggulan syiar Islam di sini, iaitu Masjid Besar Sultan Qaboos yang terletak di Wilayat Baushar, Selatan Gubra. Kawasan masjid ini terhampar atas tapak seluas 416,000 meter persegi. Masjid ini menempatkan sebanyak lapan dewan solat yang boleh memuatkan sehingga lebih 27,000 jemaah.

Kembara diteruskan ke Mutrah As Sadr yang terkenal dengan jualan pelbagai barangan tempatan popular seperti pakaian, wangi-wangian, dan makanan seperti kekacang.

Nilai mata wang riyal jika dibandingkan ringgit Malaysia adalah setinggi kira-kira 10 kali ganda (RM100 = 10.9 riyal). Jadi sekiranya berencana untuk berbelanja di sini, rancanglah bajet anda.Kami turut berkesempatan menjelajah kota Nizwa.

Mengikut sejarah, kota ini dibina antara tahun 623 dan 629 Masihi dan diubahsuai semasa pemerintahan Imam Nasir Mursyid Al Ya’rubi pada awal kurun ke-17. Pengalaman makan dan berhibur di atas kapal bersama Timbalan Menteri Penerangan Oman, Sheikh Abdullah Shuwain Al-Hosni di Laut Arab, sungguh mengujakan.

Cuaca panas kering yang ‘menggigit’ kulit dapat dilupakan seketika tatkala melihat pemandangan indah hamparan bukit berbatu di pesisir Lautan Arab.Bercakap tentang makan, di sini cukup terkenal dengan halwa muscat. Juadah seakan-akan dodol di Malaysia ini dihidangkan bersama teh herba sebagai tanda hormat kepada tetamu.

Hidangan yang terkenal pula adalah shiwa iaitu penyediaan menu daging yang dibakar di dalam tanah selama semalaman. Qabooli pula adalah nasi yang dicampur dengan daging atau kambing. Masih teras-rasa akan kelazatannya biarpun kini sudah kembali ke tanah air!

Kembara ini sememangnya membuka mata dan minda, bukan sekadar menyahut seruan tugas malah menandakan betapa setiap sudut dunia sebenarnya adalah ruang dan peluang untuk kita mengenali, memahami dan menghormati diversiti budaya tanpa prejudis. Terima kasih Kesultanan Oman. Syukran!

Author : Amin Hayat

2 comments

  1. laporan yang sangat menarik dan berinformasi. semoga selepas ini banyak lagi informasi tentang negara2 islam yang akan diterokai. selamat maju jaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *