Sendirian di sarang jerung

LANGKAH kaki ke sudut masuk penyelam di mulut akuarium itu terasa berat. Bukan kerana dihantui perasaan kesal kerana menyahut cabaran ekstrem ini, tetapi kerana menggalas tangki oksigen seberat 15 kilogram di belakang tubuh. Kaki sirip yang disarung pula membuatkan pergerakan lebih berhati-hati.

Pada ketika itu, fikiran sedang sarat memproses pelbagai maklumat seperti yang telah ‘disumbat’ pada sesi taklimat ringkas di bilik persediaan sebelumnya.

Memang kalau mengikut prosedur, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian serius oleh peserta program Dive With Sharks, iaitu pengalaman istimewa selam skuba bersama jerung di Aquaria KLCC.

Peserta cabaran menarik ini perlu mengikuti kursus asas tentang teknik selam skuba. Ini termasuklah memberi tunjuk ajar cara pernafasan dan isyarat tangan dalam air, pengenalan perkakasan dan pakaian skuba serta peringatan pelbagai perkara.

“Ingat, bernafas ikut mulut sahaja. Kami akan memandu anda masuk ke dalam air. Anda akan dibimbing ke sekeliling akuarium sebelum ditinggalkan secara berasingan di dua sarang jerung yang berlainan sehingga tempoh 30 minit selesai,” kata penyelam terlatih Aquaria, Shahril Azmi Mohd Sait.

Selain penulis, sesi selaman petang itu turut disertai Puteri Nur Amalina Ridhuan, 15. Juga pengalaman pertama buat pelajar Sekolah Menengah Bukit Indah, Ampang ini, keinginan merasai pengalaman dunia marin yang menakjubkan menjadi motivasi untuk menyahut cabaran program.

Mungkin juga semangat itu hadir tatkala membayangkan sijil dan cenderamata baju-T eksklusif bakal diterima sekiranya berjaya menamatkan ujian selama setengah jam.

Baju-T hitam yang tertera tulisan I Survived itu memang segak dipakai dan pastinya boleh menjadi modal bercerita di hadapan rakan-rakan.

Lupakan tentang itu dahulu. Dalam membina keyakinan dalam akuarium yang bersuhu sejuk itu, kami mengingatkan diri bahawa sebarang rasa gusar boleh membuatkan kami terlupa beberapa pesan jurulatih selam.

“Atur pernafasan dengan tenang. Tekanan udara di telinga perlu dibebaskan secara berperingkat apabila semakin jauh meninggalkan permukaan. Beri respons setiap kali diminta jurulatih,” kata seorang lagi penyelam pengiring, Mohd. Effendy Yahaya.

Akhirnya di kedalaman 4.2 meter itu, penulis dan Nur Amalina ditinggalkan oleh penyelam yang mengiringi kami. Bermulalah kami ‘bermesra’ dengan Napoleon si ikan bayan, Kudsiah (pari bintik) dan The Herd (kumpulan pari lembu). Cruise si jerung bintik dan Guiness daripada spesies Tawney juga sesekali memunculkan diri.

Menyedari aksi kami dipertontonkan kepada sekalian pengunjung Aquaria yang melalui terowong rentas di perut akuarium besar itu, saya dan Nur Amalina menukar gaya umpama ‘duta’ popular.

Seronok apabila ada yang mengambil gambar, merakam video dan meminta kami melambaikan tangan dan membuat gerak isyarat tertentu. Dalam gembira beraksi, tiba-tiba amaran penting tercanang dalam ingatan.

“Jangan membuat pergerakan tubuh secara mengejut, jangan menggerakkan tangan terlalu bebas dan jangan kencing dalam air.” Mengingatkan amaran itu, penulis berhenti melambai-lambai pengunjung Aquaria.

Menurut Shahril, pergerakan mengejut penyelam boleh membuatkan jerung turut terkejut lalu membalas reaksi secara agresif hingga mencedera atau merosakkan salur oksigen penyelam.

Menggerakkan anggota tubuh terutamanya tangan dengan bebas seperti melambai pula boleh disalah erti jerung yang menyangka penyelam sedang memberi habuan makanan. Ya, jerung-jerung ini akan datang mendekati tangan yang bergerak-gerak itu dengan mulut yang ternganga luas!

Penyelam juga dilarang membuang air kerana perbuatan itu mudah dikesan deria jerung yang bersifat territorial iaitu sangat menjaga kawasan. Bau air kencing spesies lain diinterpretasi sebagai ancaman terhadap pemilikan kawasan dan kawanan jerung-jerung tersebut.

Dalam mengawal tertib dalam air, degup jantung berdebar laju apabila sekumpulan jerung sirip hitam mendekati. Malah, ada di antaranya yang sengaja melibas ekor dan menampar wajah. Mungkin ia sekadar bermanja, namun tidak boleh dinafikan upaya baris gigi tajam dan runcing itu!

Ujian seterusnya muncul apabila ternampak kehadiran makhluk yang dinanti-nanti, iaitu jerung harimau pasir yang bersaiz besar dan dikhabarkan bersifat ganas. Hanya melihatkan fizikalnya yang mencapai ukuran panjang melebihi dua meter, sudah cukup memberitahu tentang siapa sebenarnya raja di situ.

Tanpa disedari, kami berdua diiring Shahril dan Effendy untuk dibawa beredar meninggalkan sarang jerung itu. Kami dibawa mengelilingi akuarium itu sekali lagi sebelum dinaikkan sedikit demi sedikit. Saat kepala melepasi permukaan dan topeng oksigen ditanggalkan, kami sudah kembali berada di tempat pelepasan menyelam awal tadi.

“Selalunya kami akan cepat-cepat menaikkan penyelam ke permukaan selepas mereka melepasi tempoh 30 minit itu, tetapi awak berdua beruntung kerana kami sengaja biarkan lebih lama di dalam air tadi,” kata Effendy lalu membuatkan kami tertanya-tanya.

Menakjubkan! Sudah 50 minit kami berada di dalam air rupanya. Dalam sedikit rasa bingung dan rasa takjub yang belum kehabisan, saya cuba mencongak semula. Nur Amalina pula berulang kali mengatakan bahawa masa yang berlalu langsung tidak dirasakan.

Mungkin kami terlalu leka melambai ke arah pengunjung Aquaria, melayan ikan-ikan jinak dan mencari gigi-gigi jerung di atas pasir untuk dijadikan tanda kenangan.

Selesai menyalin pakaian, dari jauh terpandang pegawai perhubungan Aquaria yang bertepuk tangan kepada kami tanda ucapan tahniah. Hampir serentak saya dan Nur Amalina bersuara meminta ‘ganjaran’ yang sama – “Nak baju-T itu!”.

1 comment

  1. saat melangkah kaki dari rumah, hamzah bersiap terlebih dahulu terutamanya menyapukan gel rambut supaya rambut depannya tercacak. memandangkan dia perlu tampil menarik untuk bertemu dan menyelam bersama jerung. Tapi, tanpa disangka-sangka, ketika menyelam…keseluruhan rambut tegak tanpa tinggal tercicir sehelai pun…wow

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *