Simbiosis Kuala Selangor

KALAU bukan kerana pembangunan sebuah projek padang golf berjaya ‘dilumpuhkan’ suatu ketika dahulu, tentu sekali khazanah semula jadi di Taman Alam Kuala Selangor ini tidak dapat dinikmati dan dihayati oleh generasi semasa.

Diuruskan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) bersama kerajaan negeri sejak tahun 1987, ia wujud dalam tiga bentuk habitat khusus iaitu hutan sekunder, hutan bakau dan juga sistem tasik air payau buatan.

Terletak kira-kira 70 kilometer dari Kuala Lumpur dan di sepanjang Sungai Selangor, hamparan bumi seluas 323 hektar ini kini mengagumkan para pengunjung dan pelancong dengan sambutan daripada seluruh isi taman dan ‘penghuninya’.

Apa yang dimaksudkan adalah kewujudan variasi spesies hidupan liar dan juga himpunan flora yang ada sebilangannya membentuk populasi eksklusif di habitat tersebut.

Kewujudan santuari hijau ini bukan sekadar menjadi sarang untuk pelbagai keluarga unggas termasuk persinggahan kelompok burung migrasi, ia juga menjadi zon perlindungan, pembiakan, pemakanan dan pembesaran bagi banyak jenis haiwan lain antaranya kera, ikan belacak, biawak air dan ketam.

“Itu belum termasuk ‘pertemuan’ yang dianggap bertuah sekiranya terserempak dengan dengan spesies khusus seperti memerang, langur (silvered-leaf monkey), burung kelicap mayang kelapa, dan kupu-kupu harimau paya bakau,” ujar penyelia MNS, Ashok Kumar.

Petugas MNS seperti Ashok memang sudah bersedia dengan informasi lengkap bagi menjawab pertanyaan pengunjung sepanjang meredah laluan trek dan tanah berlumpur di tapak hutan itu. Di sini, kesempatan bersama petugas MNS perlu digunakan sebaik-baiknya untuk bertanya tentang apa sahaja.

Pasti ramai yang tertanya apakah sebenarnya yang dinamakan lenggadai, bintangor laut, baru-baru dan api-api Ludat?

Jika spesies darat, hidupan akuatik dan separa akuatik lain di tempat ini masih boleh ditemukan, apakah pula ancaman yang sangat ditakuti berlaku di kawasan hijau pesisiran pantai ini?

Jawapannya jelas terpampang di depan mata, iaitu kelangsungan hubungan simbiosis yang sejak ribuan tahun lalu tercipta dalam ekosistem hutan bakau.

“Bakau yang mati akibat faktor alam atau pencerobohan manusia adalah satu kerugian. Ramai tidak sedar, selain menjadi agen penampan ombak besar dan monsun, bakau juga mampu menjadi pelaras berkesan terhadap perubahan iklim dunia. Ia mampu menyerap gas karbon monoksida dalam kuantiti besar,” terang Ashok.

Ia juga merupakan penyaring semula jadi bagi menentu ukur tahap kualiti air khususnya di muara. Kawalan bahan mendapan dan air yang bersih secara tidak langsung menggalak pembenihan dan pembiakan ikan, udang dan ketam.

Hakikatnya, bakau berjasa kepada golongan pelaut yang meraih sumber rezeki. Jika dinilai dalam skala lebih besar, bakau sangat menyumbang kepada industri perikanan negara. Begitulah kitarannya.

“Pengunjung sering teruja apabila diterangkan mengenai ekosistem berharga ini. Para pelajar khususnya, seronok apabila berpeluang menanam benih bakau dan bermain lumpur,” katanya.

Walau apa pun pendekatan yang dilakukan untuk menyampaikan mesej mengenai kepentingan bakau, usaha pemuliharaannya juga bermakna memberi harapan kepada penemuan lebih banyak spesies baru.

Kedatangan kita dengan semangat ingin tahu dan azam memelihara warisan alam tentunya dinanti-nanti keluarga besar di Taman Alam Kuala Selangor ini!

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *