Tiga teras Khadijah

KEJIRANAN Seksyen 11, Petaling Jaya, Selangor adalah pilihan terbaik buat Khadijah Ibrahim merealisasi impiannya yang satu ini. Sudah lama diketahui umum, ia bukan berkaitan dunia seni suara, tetapi bisnes kulinari.

Selepas menimba pengalaman terbaik mengusahakan sebuah restoran di New Zealand suatu masa dahulu, dia belum puas untuk berkongsi rahsia keenakan masakan dapur keluarganya dengan orang ramai.

Lanjutan pelbagai ulasan menarik dari mulut ke mulut dan di alam siber, EKSTRA berkunjung ke restoran ini untuk melihat sendiri hasil ubah elok sebuah premis yang telah wujud sejak lebih empat dekad lalu.

“Banyak kerja-kerja ubah elok perlu dibuat memandangkan ia merupakan sebuah bangunan lama. Namun, antara ciri yang saya pentingkan adalah ruang gerak yang luas dan selesa.

“Sebab itulah konsep hiasan dan pemilihan perabot juga penting,” kata pemilik restoran yang baru beroperasi selama lima bulan itu.

Menurut Khadijah, proses merancang tata rias dan konsep restoran tidak mengambil masa yang lama, cuma fasa ubah elok sahaja pada mulanya berhadapan dengan beberapa cabaran teknikal seperti bekalan kuasa elektrik.

Bagi wanita ini yang masih mengubat kerinduan ramai melalui alunan suara lunaknya, minat terhadap perincian hiasan dalaman adalah hasil ikutan dan didikan ibunya.

“Saya percaya diri kita adalah hasil didikan ibu bapa sejak kecil. Saya meminati muzik kerana bapa saya. Hal-hal mengemas dan menghias rumah pula adalah kegemaran ibu.

“Maka saya sedikit-sebanyak menerima ‘didikan’ itu, sama seperti minat saya terhadap kemahiran memasak,” ujar Khadijah.

Penghayatan dekorasi di Khadijah’s Kitchen bermula di laluan masuk yang seumpama tangga batu rumah tradisional Melaka. Menjemput langkah seterusnya, idea dekorasi diperinci pada bahagian letakan sofa upholsteri di sebuah ruang terbuka.

Bagaikan sebuah aturan di ruang tamu kediaman, penampilannya bertambah cemerlang apabila disertai tumbuhan hidup dan ornamen hiasan ala Inggeris.

“Apa yang anda lihat di restoran ini, sama seperti yang ada di rumah saya sendiri. Memang saya menyukai perabot jati kerana keistimewaannya yang dihasilkan Lombok, Indonesia.

“Aksesori hiasan meja dan dekorasi tambahan di sini pun banyak diambil daripada koleksi peribadi di rumah,” terangnya yang ramah mempelawa masuk ke ruang berhawa dingin.

Sambil bersandar akibat pukulan gulai asam pedas dan daging masak lemak cili padi yang lazat, pandangan boleh dialihkan sebentar pada persekitaran premis. Selain menghargai kesan seni pada bekas lilin hiasan di atas meja dan seri daun sirih puteri di sudut strategik, olahan rias dinding berjaya menangkap perhatian mata.

Warna tembok hijau zaitun itu tidak dibiar polos tanpa gantungan imej-imej hitam putih yang diabadikan dalam siri bingkai gambar. Ia adalah wajah-wajah artis tersohor negara seperti Sheila Majid, Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Anuar Zain dan ramai lagi. Aksi tersebut dirakam ketika masing-masing dalam persembahan langsung.

Gambar-gambar itu boleh membantu mengisi topik perbualan kalau anda kelu melontar kata ketika menjamu selera bersama si dia tersayang dalam pertemuan romantis!

Daripada apa yang dilihat melalui kunjungan EKSTRA ke Khadijah’s Kitchen, lokasi ini sudah pun menjadi pilihan kegemaran pelbagai strata sosial. Ada anak muda tampil berpasangan, anggota keluarga yang berkumpul mengerat hubungan hinggalah kepada kumpulan korporat yang pulang dari agenda pejabat.

“Selain daripada muzik, bukankah makanan merupakan satu wadah tarikan memanggil orang ramai berhimpun dan menghabiskan waktu kualiti bersama-sama?,” ujar Khadijah.

Pendek kata, ikon dunia seni suara ini berniaga kerana kesungguhan, memasak kerana cinta dan menghias kerana mahu memastikan tetamunya tersanjung dan selesa. Di restoran kesayangannya ini, Khadijah Ibrahim meraikan seni menjamu selera dan terus mesra mengalu-alukan kunjungan buat kali yang berikutnya.

 

KHADIJAH’S KITCHEN
21, Jalan 11/2, Jalan Bukit, 46200 Petaling Jaya, Selangor.
TEL: 03-7960 1079, FAX: 03-7960 2079

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *